SEORANG sahabat bertanya kepada saya, apakah perkara yang datang dahulu – cinta kepada kerjaya kewartawanan atau cinta kepada “wartawan”, maksudnya “seseorang” dalam hidup saya.

Apabila menyentuh berkenaan cinta kepada dunia kewartawanan, ia sudah dipupuk dari bangku sekolah. Saya katakan kepadanya, saya jarang berkongsi zaman persekolahan saya kepada rakan waima sahabat baik sekalipun kecuali rakan sekolah yang sudah mengenali saya.

Dunia penulisan dan kewartawanan adalah cinta hati saya yang pertama ketika remaja.

Saya didedahkan dengan penulisan apabila sering kali menjuarai pertandingan menulis cerpen, puisi dan esei kenegaraan di sekolah saya.

Minat itu dipupuk lagi apabila saya selalu mewakili sekolah di peringkat negeri, malah ke peringkat kebangsaan untuk pertandingan perbahasan.

Setiap hujung tahun saya naik pentas menerima anugerah pencapaian kecemerlangan daripada kejuaraan yang saya raih sepanjang tahun termasuk terbaik bagi subjek Bahasa Malaysia.

Maksudnya saya berminat dengan dunia penulisan dan terdedah kepada konsep berdepan dengan orang ramai sejak kecil.

Jadi jawapan saya kepada sahabat saya, cinta saya kepada dunia penulisan lebih awal. Saya menghabiskan zaman sekolah menengah atas saya dengan kenangan indah, maksudnya tiada apa-apa yang saya kesalkan kerana ketika itu, saya menyertai apa-apa sahaja pertandingan peringkat zon termasuk bahas piala ketua menteri, pertandingan deklamasi sajak dan pertandingan pantun.

Malah saya juga aktif dalam persatuan sekolah peringkat zon. Semuanya bermula kerana minat saya dalam dunia penulisan.

Saya disuruh menulis minit mesyuarat persatuan dan aktif dalam pasukan pengawas sekolah. Minat itu tidak bermula di situ kerana minat saya juga dipupuk minat saya membaca novel.

Pada satu tahap saya mencatu perbelanjaan asrama pemberian keluarga untuk membeli novel – daripada novel cinta hingga buku bersiri penyiasatan Salma.

Saya sanggup menabung, lagipun apabila tinggal di asrama tiada apa-apa yang hendak dibeli selain makanan pada waktu rehat.

Diam di asrama semua disediakan, daripada makanan hinggalah kemudahan lain. Ketika waktu malam, apabila tutup lampu asrama jam 10 pada hujung minggu, saya menggunakan lampu suluh di bawah selimut untuk menghabiskan novel.

Waktu itu mungkin gelora jiwa remaja, saya tidak sabar-sabar menghabiskan novel dalam masa tiga hari.

Jawapan saya kepada sahabat saya masih kekal, cinta akan dunia penulisan muncul ketika saya berumur 15 tahun ke atas.

Sejak itu pada 28 tahun lalu, saya muncul sebagai pemberita kadet di Utusan Sarawak dengan gaji bawah RM700.

Disebabkan minat, saya dan rakan-rakan menganggap itu gaji paling tinggi kami terima.

Saya dibawa oleh wartawan senior membuat liputan di luar.

Dunia Wartawan Lebih Luas

Sesungguhnya, dunia kewartawan ini bukan seperti yang saya gambarkan.

Dunia itu lebih luas dan terbuka. Salah satu artikel ketika masih bergelar kadet mencipta ketegangan apabila berita saya tulis berkenaan isu guru pilih kasih.

Saya dipanggil ke Jabatan Pendidikan untuk mendapat pencerahan bagaimana saya memperoleh berita yang mencemar integriti pengamal pendidikan.

Ketika itu saya akui tergopohgapah dan ada “unsur bodoh”! Saya kutip kenyataan tiga pelajar yang saya temui di Wisma Hopoh pada waktu persekolahan.

Kebetulan saya diarah menulis berita tinjauan.

Pertamanya mengapa saya tidak berfikir panjang perkara berlaku kepada tiga pelajar itu keluar lepak ketika waktu persekolahan.

Yang pasti, ponteng sekolah.Tetapi saya kutip dakwaan mereka, tidak mahu hadir kerana terkilan dengan sikap guru yang fokus kepada pelajar pandai.

Mereka yang kurang bijak diketepikan. Saya memohon maaf dengan Jabatan Pendidikan tetapi hubungan itu bermula dengan jalinan kerjasama yang baik selepas itu.

Kesannya saya dapat belajar daripada kesilapan wartawan tidak dapat menulis berita berat sebelah dan mesti bijak menjangka keadaan, maksudnya memiliki deria keenam untuk meneropong kesan, keadaan dan kebenaran.

Saya menjadi faham dengan kronologi peristiwa, ketiga-tiga pelajar ini keluar pada waktu persekolahan di pusat beli-belah dan mendakwa mereka adalah pelajar tersisih daripada perhatian guru.

Pastinya jika mereka pelajar berdisplin dan baik jika tidak mereka tidak keluar pada waktu persekolahan.

Artikel kedua saya mengundang ketegangan juga berkenaan sardin berulat yang dibeli seorang kawan dari salah satu kawasan luar bandar.

Saya tidak tahu, mengapa saya kutip berita daripada satu sumber hingga menimbulkan ketidaksenangan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Sekali lagi saya dipanggil. Saya ditanya memperoleh sumber tetapi setelah disiasat, berita itu adalah perkara benar apabila peniaga menjual makanan tin yang luput tarikh.

Bekerja sebagai pemberita kadet di bawah seorang editor yang garang dari Semenanjung sangat tertekan.

Berkali-kali berita saya dicetak di atas kertas A4 dan diberi kepadanya sebelum diedit, dia campak ke dalam bakul sampah sehingga susunan pengenalan dan ayatnya bagus.

Bukan saya seorang malah ramai rakan tertekan. Tetapi saya seronok dengan tekanan itu. Saya tetap seronok bekerja walaupun gaji kecil, saya berasa bahagia.

Jodoh Dengan Wartawan

Kecintaan saya terhadap dunia kewartawanan semakin menyala apabila saya bertemu jodoh dengan wartawan.

Ya, saya katakan kepada sahabat saya tadi, ini baharu betul cinta saya datang kemudian kepada wartawan itu sendiri.

Maksudnya, saya semakin berminat menerokai persekitaran kerja, menulis dan apa-apa sahaja berkaitan penulisan.

Sebenarnya, bukan mudah menjadi pasangan kepada seorang wartawan.

Tetapi saya nafi kan usikan sesetengah sahabat saya, penulisan saya semakin baik kerana hati saya dibuai cinta. Salah sama sekali. Saya tahu membezakan kerja dan peribadi serta tidak tercantum sama sekali.

Saya sokong orang yang saya cintai dengan cara saya sendiri. Saya tidak cemburu buta, saya tidak bertanya soalan hampir setiap jam, saya biarkan dia menghabis ruang kerja dan ruang santai dengan kawan-kawan.

Paling penting, saya tidak pernah periksa telefon bimbitnya.

Kerana apa? Kerana saya sebenarnya tidak suka untuk diluka, terluka oleh benda remeh atau benda yang membayangi saya 24 jam berikutnya.

Bayangan ilusi saya sendiri cipta dan menyakitkan saya semula. Dunia kewartawanan saya semakin indah apabila bergelar editor dengan dikelilingi oleh orang yang berpengalaman yang sedia membimbing, menegur dan menyokong.

Saya ada ketua yang bertauliah, terkenal yang kami boleh tumpang prestijnya supaya dikenali dalam kalangan pengamal media lain.

Dan wartawan kami hari ini bertuah, kerana adanya bimbingan dan teguran langsung jika ada kesalahan.

Berbanding kami puluhan tahun lalu, terkontang-kanting mencari panduan dan bimbingan.

Tetapi saya akui saya ada bakat menulis – walaupun bunyinya sedikit ngegeh – bak kata orang Sarawak tetapi kena akui, bakat ialah ciri semula jadi dan bakat juga tidak dapat menipu.

Disiplin Dan Minat

Tetapi bakat jika tidak disertakan dengan kesungguhan untuk belajar tidak akan berhasil. Ia harus dikahwinkan dengan kemahiran, disiplin dan minat dengan penulisan.

Jadi sifatnya bakat harus seperti lelaki berkahwin tiga – ia harus seiring dengan kemahiran, disiplin dan minat.

Jika mahu menjadi wartawan hanya kerana mengisi kekosongan jawatan sesebuah organisasi atau bagi melangsaikan kehendak pengajian di universiti, baik kemas barang dan tidur di rumah.

Tidur itu lebih enak bagi mereka yang malas dan tidak minat.

Jangan paksa diri untuk mencintai dunia penulisan kerana bidang itu tidak dapat “disalin dan tampal”.

Selain itu, bidang itu juga memerlukan kecergasan, kecekapan dan kepantasan mengolah berita.

Menulis tidak memerlukan wartawan memikul batu bertan-tan atau memanjat bangunan 12 tingkat serta memerlukan rasa dan jiwa itu sampai dalam berita yang hendak ditulis.

Seronok sebenarnya menjadi wartawan. Jika ada liputan di hotel, mereka tidak mengeluarkan kos makan tengah hari, itu sudah jimat.

Kenalan menjadi ramai daripada pemimpin nombor satu negara hingga ke pengemis jalanan. Begitu juga dengan pengaruh. Saya percaya pada telefon bimbit wartawan tersimpan sekurang-kurang lima nama orang berpengaruh dalam bidang masing-masing.

Dan orang ini mampu menghulurkan bantuan – bukan wang ringgit – jika wartawan memohon pertolongan.

Begitu juga pandangan masyarakat, Apabila ditanya, kerja apa? Jawablah wartawan, pasti ada tergambar kekaguman pada wajah yang bertanya. Nilai wartawan naik, semakin lama dia dalam industri, semakin bernilai dia kepada pemain industri – jika dia bukan wartawan statik.

Bagi adik-adik yang baharu berjinak-jinak dalam dunia ini, jadilah wartawan yang bagus, rebut peluang mencipta jenama diri sendiri.

Namun jika tidak berminat dan hanya menunggu gaji untuk bayar kereta hujung bulan, baik tulis surat peletakan jawatan.