KUCHING: Sarawak Media Group (SMG) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), bagi memudahkan jalinan kerjasama antara keduadua pihak dalam pelbagai bidang.

Ketua Pegawai Eksekutif SMG Suhaimi Sulaiman berkata, tindakan ini diharapkan dapat memberi manfaat serta menambah pengetahuan kedua-dua pihak, terutama dalam industri media kreatif.

“Saya rasa ini satu peluang yang baik untuk kita menjalinkan kerjasama antara satu sama lain. “Sejajar dengan slogan TVS, kami turut menekankan kepentingan pendidikan kepada masyarakat untuk menghasilkan idea yang dapat meningkatkan produktiviti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan UCTS di pejabat SMG, di sini pada Rabu.

Foto MEDIA JaPen SWK

Sementara itu, Naib Canselor UCTS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid menyifatkan kerjasama yang dijalankan itu amat penting terutama dalam bidang teknologi digital, pengeluaran kandungan kreatif dan modal insan yang berkaitan di negeri ini.

Beliau berharap melalui perkongsian itu, pihaknya dapat menghasilkan projek penyelidikan untuk meningkatkan lagi industri media digital di Sarawak.

“Dengan kerjasama ini, kami juga berharap SMG dapat memberi peluang kepada pelajar kami untuk mengambil bahagian dalam program perintis dan latihan industri untuk didedahkan mengenai pengetahuan dan pengalaman dalam dunia industri dan komersial sebenar.

“Jadi, melalui perkongsian ini kelak, kami dapat menghasilkan projek penyelidikan bersamasama di samping meningkatkan industri media digital di Sarawak.

“Contohnya, dalam kandungan animasi, kita boleh mengetengahkan watak tempatan dan latar belakang sejarah seperti watak Upin Ipin yang ada di Semenanjung,” tambahnya lagi.

Terdahulu majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu diadakan di pejabat SMG yang ditandatangani oleh Suhaimi Sulaiman dan Dr Khairuddin serta disaksikan oleh beberapa pegawai lain.

Foto MEDIA JaPen SWK