MUAR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kerajaan akan menumpukan usaha memerangi habis-habisan pandemik COVID-19 dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov depan.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pihaknya akan mengambil langkah-langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan tahunan itu bagi memulihkan kembali kehidupan rakyat.

“Kita kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin akan mengambil langkah-langkah tambahan (yang sewajarnya). Sebelum ini sebanyak RM305 bilion (telah digunakan) dan Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan dalam usaha mengawal pandemik COVID-19 supaya ia tidak menular.

“(Setakat ini) hampir RM2 bilion telah kita belanjakan untuk Kementerian Kesihatan manakala untuk Sabah sahaja, dengan COVID-19 yang begitu hebat, kira-kira RM400 juta telah dibelanjakan dalam tempoh beberapa minggu lepas, melibatkan bantuan makanan yang dihantar ke rumah-rumah dan peralatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-24 Koperasi Sungai Terap dan Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal dan ADUN Bukit Pasir Kapten (B) Najib Lep.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memerangi COVID-19 dalam belanjawan akan datang dan pada masa sama akan terus membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

“Kerajaan perlu menyediakan pakej rangsangan iaitu bantuan kepada rakyat kerana ada kumpulan yang terjejas teruk. Jika dahulu (ketika Perintah Kawalan Pergerakan) diperkenalkan ada yang mohon untuk keluarkan simpanan di akaun kedua Kumpulan Wang Simapanan Pekerja (KWSP), sekarang ada pula yang mohon untuk keluarkan simpanan di akaun pertama,” katanya.

“Simpanan itu untuk masa tua kita. Kalau kita (kerajaan) benarkan perkara itu dilakukan saudara-saudari akan berdepan masalah lain pula,” tambahnya.

“…kerajaan telah menyediakan berbilion-bilion ringgit. Yang akan datang ..jangan tanya, saya akan keluar berbilion-bilion lagi untuk tolong rakyat.” katanya lagi.

Beliau turut mengakui kerajaan kini mengalami kesukaran dalam usaha menyeimbangkan kehidupan rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan, dan dalam masa sama perlu berusaha menyelamatkan ekonomi negara yang terjejas teruk.

“Masalah kita bila buka kembali ekonomi, masyarakat mula bergerak ke sana dan ke sini untuk memulihkan kembali ekonomi (dan perniagaan mereka). Sekarang agak sukar untuk kerajaan menyeimbangkan antara kehidupan rakyat dan usaha menyelamatkan ekonomi (berikutan faktor itu).

“Kerajaan perlu membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi seperti biasa, namun dalam masa yang sama perlu membendung penularan COVID-19 dengan sekatan-sekatan tertentu. Ini satu perkara yang sukar,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan yang dicurahkan oleh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam mengawal pandemik berkenaan sejak ia mula melanda negara pada awal tahun ini.

“Mereka dah tahap hujung, dah ‘exhausted’ kerana tak berhenti kerja siang dan malam untuk jaga nyawa kita. Ini satu pengorbanan yang luar biasa. Orang kata wira yang tak didendang, jadi kita harus ucap terima kasih kepada mereka di barisan hadapan yang korban masa, harta dan keluarga untuk bantu kita supaya selamat daripada COVID-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata koperasi merupakan penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta dengan mempunyai jutaan ahli di seluruh negara, serta aset yang bernilai berbilion ringgit.

“Ini bermakna koperasi mempunyai potensi yang amat besar untuk dibangunkan. Di negara maju, koperasi dah teroka banyak bidang besar malah di Malaysia sendiri pun telah ada namun prospek untuk kita pertingkatkan koperasi, masih amat luas lagi,” katanya. — BERNAMA