SESUAI dengan ajaran Nabi, abaikan karikatur ini dan anggapnya tiada hubungan sama sekali dengan Nabi kita…” memetik nasihat Presiden Dewan Muslim Perancis, Mohammed Moussaoui kepada Muslim Perancis dan seluruh dunia.

Warga Muslim Perancis kini rasa terhina dengan permainan melalui karya, karikatur yang disogokkan kononnya Nabi Muhammad.

Moussaoui juga meminta umat Islam mengelak menggunakan kekerasan dalam sebarang aksi ketika mereka diprovokasi agar marah.

Sebelum ini, Perancis membenarkan kemunculan semula kartun yang didakwa kononnya sebagai Nabi Muhammad SAW yang dilukis melambangkan kebebasan berkarya, tetapi dengan sasaran menghina agama dan warga Muslim.

Penghinaan oleh artis Perancis, bahkan kenyataan celopar Presiden Perancis Emmanuel Macron tentang Islam mengundang tindak balas kerajaan Arab Saudi.

Arab Saudi mengecam terbitan ulangan karikatur yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad oleh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang muncul seawal 1970 itu.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan turut mengecam kenyataan Macron yang menyerang Islam serta membela kebebasan bersuara majalah Charlie Hebdo yang terkenal dengan cogan katanya “It is forbidden to forbid” (dilarang untuk melarang).

Selain itu Qatar, Kuwait, Jordan, Libya, Syria, Palestin dan Turki turut bertindak mengajak rakyatnya memboikot produk Perancis yang sudah mula dihapuskan dari beberapa toko.

Ini memberi tamparan kepada Perancis sebagaimana pernah berlaku 2012, apabila Charlie Hebdo menyiarkan foto menghina watak yang digambarkan Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa itu membawa protes di seluruh dunia Islam ketika itu dan menyebabkan kematian, termasuk pemboikotan produk Perancis pada 2012 dan 2015 yang membawa kerugian besar kepada Paris.

Hari ini, Perancis sekali lagi merayu negara Timur Tengah menghentikan pemboikotan barangannya.

Pada masa yang sama mereka mempertahankan kebebasan bersuara yang sehingga menghina agama dan penganut lain.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengkritik Macron dan meminta beliau menjalani pemeriksaan mental kerana mengeluarkan kenyataan sembrono.

Merespons kecaman Erdogan, majalah Charlie Hebdo menyiarkan pula kulit depannya dengan karikatur tercela menghina presiden Turki itu. Ternyata Charlie Hebdo sengaja mencari masalah.

Namun apa-apa pun, umat Islam sepatutnya bersederhana mengambil sebarang pendekatan sebagaimana ajaran Nabi.

Sempena Mauludir Rasul, Muslim perlu menyahut saranan Moussaoui agar mengikut teladan Nabi yang mengabaikan hinaan orang mengejeknya.

Umat Islam boleh marah, tetapi harus rasional berdepan dengan tindakan melampau manusia lain.

Nabi Muhammad SAW sebagai simbol penyatuan dan perpaduan manusia, jauh seperti digambarkan artis yang percaya mereka mempraktiskan kebebasan berkarya.

Muslim harus menolak jauh-jauh dan akui lakaran itu tiada kaitan dengan Nabi Muhammad, insan yang sempurna dan terpuji, yang mencinta keamanan dunia dan perpaduan sesama manusia.