SIBU: Seorang pelajar di sebuah universiti di Tainan, Taiwan berusia 24 tahun berasal dari Sibu dilaporkan mati dibunuh di Taiwan pada Khamis.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina tempatan di negara itu melaporkan mangsa hilang sejak 28 Oktober lalu.

Berikutan itu, seorang suspek lelaki ditahan oleh polis di negara itu selepas mengaku membunuh mangsa.

Suspek juga mengaku mencekik mangsa sampai mati dan membuang mayatnya ke tempat lain.

Menurut laporan akhbar itu lagi, terdahulu mangsa diculik dan keesokan harinya polis berjaya menahan seorang suspek yang hanya dikenali sebagai Liang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut berlaku di negara tersebut.

Menurutnya, ibu mangsa yang juga seorang jurujual berusia 45 tahun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini pada tengah hari hari ini.

Jelas beliau lagi, ibu mangsa memaklumkan bahawa anaknya dibunuh di Taiwan.

“Ibu mangsa memaklumkan menerima berita itu semalam dari Evergreen University Taiwan yang anak perempuannya yang dikenali sebagai Irene Chung dibunuh dan mayatnya ditemui di Gunung Alian di Kaohsiung, Taiwan,” kata Stanley.

Tambahnya, ibu mangsa membuat laporan polis di sini bertujuan meminta bantuan kerajaan Malaysia untuk memantau penyiasatan kes tersebut dan berhasrat ke Taiwan untuk menuntut jenazah anaknya.

Keluarga mangsa difahamkan akan berangkat ke Kuala Lumpur malam ini (Jumaat) dan keesokan harinya ke pejabat kedutaan Taiwan untuk segera ke negara itu.