DARO: Gayat dan tidak berpengalaman antara faktor menyebabkan tidak ramai yang berani melakukan aktiviti terjun udara.

Bagaimanapun tahukah anda, terjunan udara bukan hanya untuk mereka yang berjiwa kental sebaliknya boleh disertai oleh sesiapa sahaja asalkan ada minat dan kesungguhan?

Sehubungan itu, Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang Sarikei membuka penyertaan kepada orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus asas terjun udara (Statik Ram Air) di Tanjung Manis, 13 hingga 15 November depan.

Presidennya Kasim@Ahmad Drahim berkata, program diadakan di Reki Raldin Resort, Pantai Belawai itu merupakan siri pertama yang akan menyediakan pelbagai modul menarik untuk diikuti oleh peserta.

Setakat ini katanya, penganjur menerima respons cukup menggalakkan namun penyertaan terhad kepada 20 peserta. “Program ini sepatutnya diadakan lebih awal, namun penganjurannya ditangguh berikutan pandemik Covid 19.

“Akhirnya, kita menetapkan November depan untuk meneruskannya. Belia yang berminat boleh datang dan mendaftar sebagai  peserta pada tarikh berkenaan, “ katanya kepada Suara Sarawak.

Kasim berkata, terjunan udara merupakan aktiviti unik yang berpotensi menjadi salah satu produk tarikan pelancong yang meminati aktiviti berkenaan.

Malah katanya, kemahiran dalam sukan itu juga memberi kelebihan tersendiri terutama kepada anak muda yang ingin menyertai pasukan keselamatan.

“Sukan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Justeru, saya berharap penganjuran kursus itu kelak mampu menarik minat orang ramai terutama golongan muda, sekali gus mampu membendung daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah,” katanya.

Mengulas lanjut tentang kelab, Kasim berkata, penubuhannya bertujuan membantu Kerajaan Sarawak kerana mampu membantu menjimatkan kos penganjuran sekiranya memerlukan penerjun untuk program besar.

“Malah melalui kelab ini juga, kami boleh memperkembangkan potensi ke serata negeri. Kita juga bercadang untuk menubuhkan sekolah penerjun sendiri.

“Saya mengharapkan sokongan Kerajaan Sarawak, kerana kami masih belum mempunyai aksesori yang mencukupi. “Saya juga berharap pihak yang berkaitan membantu agar kami dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti, ” tambahnya.

Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi yang menyumbangkan seunit payung terjun (base jump) untuk kelab berkenaan baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Veteran Komando Sarawak Alwi Ahmad.