KUCHING: Buku “Model STEM IR 4.0 Peringkat Menengah” dapat memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat luar tentang kepentingan subjek Sains dan Matematik. Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, melalui buku itu, masyarakat luar akan menyedari bahawa subjek tersebut mampu memberikan peluang pekerjaan kepada mereka pada masa akan datang.

“Justeru, saya berpendapat usaha baik ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai dan memupuk minat Stem dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

“Malah ia juga akan meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di sekolah menengah di Sarawak, khususnya di pelajar sekolah rendah dan pelajar dari kawasan pedalaman,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Model STEM 4.0 Peringkat Menengah di IPG Batu Lintang di sini, pada Rabu.

Jelas beliau, asas kepada subjek Sains dan Matematik harus didedahkan lebih awal kepada murid sekolah rendah agar minat mereka dapat dipupuk lebih awal dalam usaha melihat lebih ramai pelajar mengambil jurusan sains apabila mereka memasuki sekolah menengah.

“Sasaran untuk seluruh Malaysia adalah 60 peratus mengambil jurusan sains dari tingkatan empat dan seterusnya namun, jika dilihat sekarang di Sarawak, peratus pelajar yang mengikuti aliran sains tulen adalah sebanyak 23 peratus sahaja.

“Kita sangat ketinggalan daripada sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya Sementara itu, Pengarah IPG Batu Lintang Jamiran Salam berkata, langkah yang diambil dalam mengusahakan buku tersebut adalah untuk menjadi contoh dan model dalam pendidikan Stem di sekolah menengah di Sarawak.

“Buku yang telah dilancarkan ini dapat memberi peluang kepada murid untuk memilih kursus yang baik seperti Kejuruteraan dan Geologi. “Dengan usaha kerajaan, kami juga akan melatih semula guru-guru yang ada dalam subjek Sains dan Matematik supaya pembelajaran bagi subjek ini dapat ditingkatkan dan menggalakkan murid kearah inovasi,” jelasnya.

Oleh itu, jelas Jamiran lagi, kolaborasi antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memberi sumbangan yang besar kepada pelajar dari segi kepakaran dan sumber iaitu akan memberi impak kepada minat pelajar untuk mendalami subjek Sains dan Matematik.