KUCHING: Seramai 40 penerima bantuan terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik dan golongan yang memerlukan menerima bantuan Program Jalinan Kasih anjuran Persatuan Segu Bunuk bersama-sama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puncak Borneo pada Khamis lalu.

Tujuan utama program adalah untuk menyerahkan bantuan kepada mereka memerlukan di samping mengeratkan hubungan pemimpin dengan rakyat.

Bantuan berbentuk makanan, kerusi roda, tongkat, katil boleh laras dan barangan keperluan lain pesakit.

Semua penerima bantuan berasal dari kampung di bawah naungan Persatuan Segu Bunuk. Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar lebih peka terhadap penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

“Menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan. Namun, jika tiada maklumat disampaikan maka golongan itu akan terpinggir dan tidak akan mendapat bantuan sewajarnya.

“Oleh yang demikian, JKKK diingatkan memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan,” katanya.

Willie turut mengingatkan persatuan dan JKKK agar terus berganding bahu bagi memastikan kemajuan dan keselamatan kampung terjamin.

Selain itu, tindakan dan pendekatan lebih proaktif perlu dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan asas di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Willie memaklumkan bahawa Permohonan Projek Jalan Kampung dan Projek Pemasang Lampu Jalan amat penting dan perlu disegerakan.

“Adanya kemudahan ini, kegiatan ekonomi, sosial dan riadah dapat dijalankan pada waktu siang atau malam dengan selesa dan selamat.

“Permohonan boleh dihantar melalui Pejabat Pusat Khidmat Rakyat untuk diajukan kepada kementerian berkaitan serta memudahkan proses susulan,” jelasnya.

Mengenai masalah liputan Internet, Willie memaklumkan bahawa masalah tersebut akan diselesaikan melalui projek Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Projek itu akan dilaksanakan pada awal 2021 yang menyediakan liputan Internet di semua kawasan kampung yang bernaung di bawah persatuan.