DARO: Berbasikal bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga dapat memperbaiki tahap kesihatan diri.

Aktiviti ini mampu mengeratkan perpaduan dan hubungan keluarga jika dilakukan secara beramai-ramai selain menjadi salah satu pendekatan terbaik untuk berdiet.

Sehubungan itu, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia ( MAKSAK) Daro menganjurkan program berbasikal sambil beramal sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Daro, kelmarin.

Kayuhan disertai seramai 150 peserta itu bermula di Dewan Masyarakat Daro sebelum singgah di beberapa destinasi untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Antara tempat persinggahan ialah Kampung Badong, Kampung Tengah Daro, Kampung Lemang Pek, Kampung Baru dan Kampung Masjid.

ADUN Daro, Safiee Ahmad yang turut menyertai program berkata, aktiviti mendapat sambutan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan anggota MAKSAK daerah berkenaan.

“Bagaimanapun dalam program kali ini, kita mengadakan sedikit kelainan apabila mengajak peserta berbasikal sambil beramal,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak RM5,000 disampaikan kepada masing-masing Kampung Tengah dan Kampung Masjid Hilir.

Selain itu, 100 unit kerusi plastik juga disampaikan untuk Dewan Terbuka Kampung Masjid Hilir yang baharu siap dibina secara gotong-royong.

Pada masa yang sama, MAKSAK Daerah Daro turut menerima sumbangan RM5,000 bagi melaksanakan aktiviti serta program tahunan mereka.