KUCHING: Penularan virus Covid-19 di Sarawak disifatkan sebagai cepat merebak dan mudah berjangkit, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kuih Hian.

Menurutnya, mereka yang dijangkiti mula menunjukkan gejala pada hari ketiga hingga kelima, bukannya hari kesepuluh dan seterusnya seperti kes sebelum ini.

“Kajian makmal menunjukkan jumlah virus berkenaan sangat tinggi. Namun demikian, ia masih virus yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mengunjungi pusat operasi PKPD Covid-19 bersama-sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Kampung Haji Baki, Khamis lalu.

Tambah beliau, jumlah virus yang tinggi bermaksud ia akan tersebar dengan lebih cepat dan mudah.

Oleh sebab itu, banyak golongan muda yang dijangkiti menunjukkan gejala pada hari ketiga hingga kelima, bukannya pada hari kesepuluh hingga ke-14.

“Kita telah mengesan 20 kes positif baharu dalam kelompok Green Hill.

“Mereka telah datang sendiri ke klinik awam dan swasta untuk melakukan ujian calitan Covid-19. “Mereka ini juga tidak menunggu Pegawai Kesihatan datang kepada mereka untuk melakukan ujian calitan, sebaliknya datang sendiri ke klinik,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai untuk melakukan ujian calitan kali kedua jika keputusan pertama adalah negatif.

“Ini kerana, walaupun ujian pertama negatif, tidak bermaksud mereka tidak dijangkiti kerana tempoh virus berkenaan aktif adalah dalam masa 14 hari

“Dasar Kerajaan Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia kerana kita akan memaksa mereka untuk menjalani ujian calitan kali kedua pada hari kesepuluh jika ujian pertama negatif. “Mengenai kes semasa, tiada pesakit berulang yang dikesan,” tambahnya.