KUCHING: Fakulti Kejuruteraan Unimas berjaya menganjurkan Ekspo Sains dan Teknologi Antarabangsa (i-Steex) 2020 sempena Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa Unimas Ke-13 2020 (EnCon 2020).

Lebih menarik, i-Steex tahun ini dilakukan sepenuhnya dalam talian menerusi pertandingan video di platform YouTube.

Bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), pameran tersebut mendapat sambutan luar biasa di seluruh negara.

Menurut jurucakapnya, i-Steex 2020 menampilkan 66 persembahan video dari pelbagai sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi lain.

“Pemenang anugerah emas, perak dan gangsa masing-masing akan menerima wang hadiah sebanyak RM1000, RM750 dan RM500.

“Pengumuman pemenang akan diadakan pada 28 Oktober 2020 melalui saluran YouTube – officialisteex,” katanya.

Tambahnya, pameran tersebut dikelolakan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan (Safe) dan Model Pendidikan Berpusatkan Komuniti untuk membangunkan Ketahanan Sosial (Aces).

Matlamat utama i-Steex yang ditubuhkan sejak 2016 adalah sebagai platform untuk golongan belia terutamanya pelajar sekolah menerapkan pengetahuan dan kreativiti mereka ke dalam idea inovatif sejajar dengan aspirasi Stem untuk memupuk minat generasi muda terhadap aktiviti yang berkaitan dengan Stem di luar bilik darjah.