RIYADH: Pemimpin Arab Saudi mengutuk keras keganasan terbaharu di Nice, Perancis yang mengorbankan tiga orang semalam.

Negara itu menyatakan tindakan keganasan itu tidak boleh dilakukan sesuka hati dan tidak sesuai dengan semua ajaran agama.

Saudi menegaskan, tindakan keganasan juga tidak seharusnya dikaitkan dengan ajaran agama dan kepercayaan apa-apa pun.

“Tindakan keganasan sebegini jelas bertentangan dengan ajaran semua agama dan akal fikiran manusia.

“Mereka turut memberi penekanan betapa pentingnya menolak semua tindakan yang berunsur kebencian, kekerasan dan tindakan melampau,” kata Kementerian Luar Saudi. Presiden AS, Donald Trump turut mengucapkan takziah kepada Perancis atas tragedi berdarah tersebut.

Beliau mengatakan AS akan menyokong Perancis melawan sebarang bentuk keganasan. Presiden Perancis Emmanuel Macron juga mengucapkan takziah kepada rakyatnya khususnya kepada penduduk di kawasan Notredame Basilica.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh tiga orang awam, dengan mengelar leher salah seorang dan mencederakan beberapa yang lain sebelum diberkas polis.