KUCHING: Seorang lelaki tempatan dari Kampung Jangkar dalam kawasan Lundu yang mengaku bersalah terhadap tuduhan merogol seorang gadis di bawah umur akan mengetahui nasibnya pada 16 November depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mengarahkan lelaki 31 tahun itu ditahan lanjut di penjara setelah enggan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan.

Tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 17 tahun dan 8 bulan sekitar jam 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sedaing berdekatan Lundu pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu dalam kes yang sama, seorang pemuda tempatan yang mengaku tidak bersalah merogol gadis yang sama dibebaskan dengan jaminan tunai RM5,000.

Tertuduh berusia 23 tahun dibebaskan dengan jaminan sementara pengurusan kes ditetapkan pada 30 November depan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa sekitar jam 10 malam di dalam sebuah kereta jenis Toyota Hilux di tepi Jalan Bau/Lundu pada 30 September lalu.