PADA akhir 1980-an, ketika mula-mula berpindah di Kampung Semerah Padi Baru, juga digelar Kampung Semariang Baru, keadaan kampung agak serba kekurangan. Maklumlah, kampung baharu sahaja dibuka.

Tetapi, syukur sudah ada jalan raya yang diturap, bekalan air dan elektrik. Kemudahan lain seperti dewan belum ada lagi. Surau pula dibina daripada kayu di tapak sementara. Saya masih ingat di tapak baharu untuk surau, penduduk kampung mengadakan solat sunat Aidilfitri di kawasan lapang yang terbuka – bagi memberi ruang lebih ramai penduduk menunaikan solat di situ.

Walaupun banyak kemudahan belum ada, namun banyak aktiviti berjaya diadakan termasuk perarakan sambutan Maulidur Rasul.

Ketika penganjuran pertama perarakan Maulidur Rasul, saya masih kecil – masih bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Gita.

Gambar hiasan

Pada pagi itu, saya duduk di titi kecil yang menyeberangi parit menanti ketibaan rombongan perarakan Maulidur Rasul.

Mereka bergerak bermula dari kawasan lapang tapak surau baharu mengelilingi kampung sejauh hampir dua kilometer.

Kalau tidak silap, hampir 100 orang menyertai perarakan itu. Daripada orang dewasa hingga kanak-kanak. Saya belum lagi dapat menyertai perarakan ketika itu. Namun, saya bersemangat untuk menyertai pada tahun akan datang.

Perarakan ke seluruh kampung tidak memerlukan anggota keselamatan bagi mengawal lalu lintas kerana tidak banyak kereta ketika itu.

Penduduk kampung pula tidak ramai yang mempunyai kereta ataupun motosikal. Lagipun, tiada jalan lain untuk masuk atau keluar kampung.

Hanya mempunyai satu jalan masuk dan keluar. Dari jauh saya dapat mendengar rombongan perarakan berselawat memuji Rasulullah SAW. Ada yang memikul sepanduk yang dibuat sendiri.

Memerlukan perancangan untuk membuatnya. Ketika itu, Pak Ayup antara orang yang kreatif dalam membuat sepanduk. Dia menggunakan papan lapis serta kayu. Semunya dibuat sendiri. Tidak seperti hari ini, hanya dilakar menggunakan komputer dan dicetak di kedai berdekatan.

Teringin Sertai Perarakan

Saya terus berada di tempat tadi, memerhatikan sahaja penduduk kampung berarak. Sesekali mereka melambai-lambai ke arah saya. Terasa ingin menyertai perarakan itu.

Alhamdulillah, tahun berikutnya saya diberikan kesempatan berarak. Baju Melayu yang dipakai basah disebabkan peluh setelah menempuh perjalanan sejauh dua kilometer. Saya menyertai kumpulan dari Jalan Bangau. Bersemangat rasanya.

Setelah dewasa, saya bukan lagi menyertai perarakan, sebaliknya bersama-sama rakan Pemuda PBB Samariang terlibat sama dalam penganjuran.

Bukan lagi di peringkat kampung, tetapi peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri pula.

Ratusan orang menyertainya melibatkan lebih 20 kampung. Tidak seperti di kampung, kali ini memerlukan perancangan rapi – jumlah penyertaan, keselamatan di jalan raya, juri dan banyak lagi yang perlu difi kirkan.

Itu beberapa tahun lalu. Tahun lepas, saya sekali lagi hanya menyaksikan perarakan di tepi jalan. Membawa anak-anak untuk melihat perarakan untuk menarik minat mereka menyertai perarakan yang sama suatu hati kelak.

Sepatutnya tahun ini, saya merancang membawa anak-anak menyertai perarakan Maulidur Rasul, tetapi semuanya tidak menjadi gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Tiada perarakan dilihat pada Khamis lalu.

Timbul rasa rindu akan sambutan itu, tetapi kita tidak mampu buat apa-apa kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ditambah pula Kuching diisytiharkan sebagai zon merah. Jadi, segala perhimpunan beramai-ramai perlu dielakkan.

Diharapkan pandemik Covid-19 ini cepat berakhir, dengan harapan dapat menyertai perarakan Maulidur Rasul pada 2021.