KUCHING: Pilihan raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Begitu juga Pilihan raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember depan menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan apabila pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi kerusi parlimen terlibat.

“Dalam sidang khas MKN yang saya pengerusikan hari ini, Setiausaha SPR memaklumkan ramai petugas pilihan raya melahirkan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi kerana takut terkena jangkitan Covid-19,” katanya dalam perutusan khas di ibu negara sebentar tadi.

Tambah Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) juga melaporkan jika PRN-12 Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak tidak mempunyai kemudahan kesihatan lengkap untuk menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihan raya.

“Keupayaan petugas barisan hadapan dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses.

“Ini tidak mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya,” jelasnya.

Tegasnya, di Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika PKP terpaksa dilaksanakan.

“Ini pandangan yang diberikan oleh pihak yang pakar dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di negara kita.

“Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan SOP pilihan raya dan saya akan telitinya,” ujarnya.

PRK Batu Sapi diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu manakala PRN-12 Sarawak perlu dilakukan kerana tempoh Dun Sarawak tamat pada Jun 2021.