Cubaan rasuah, seludup tiga PATI gagal di Lundu

LUNDU: Polis Cawangan Risik Batalion 11 Pasukan Gerakan Am(PGA) menahan sebuah kenderaan dipandu lelaki tempatan yang cuba menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin(PATI) daripada Indonesia memasuki Sarawak, semalam.

Kejadian sekitar jam 7.50 pagi itu disedari setelah melihat dua wanita dan seorang lelaki masuk ke dalam sebuah kereta jenis Axia yang berhenti di jalan tikus sempadan Sarawak-Kalimantan dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, hasil pemeriksaan awal mengesahkan tiga penumpang kenderaan terbabit yang terdiri daripada dua wanita dan lelaki merupakan pendatang asing setelah mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan.

Menurutnya, pemilik kenderaan bagaimanapun bertindak memberikan wang rasuah sebanyak RM1,200 kepada ketua operasi dan meminta agar tiada tindakan diambil.

“Amaran telah diberikan beberapa kali namun suspek masih cuba menghulurkan wang rasuah sehingga polis bertindak menahannya.

“Hasil operasi berjaya merampas sejumlah wang RM45,200,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kesemua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Lundu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran(ATIPSOM 2007), Seksyen 17(B) Akta SPRM2009 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155).

RASUAH… suspek cuba menghulurkan RM1,200 kepada ketua operasi supaya tidak ditangkap dan dikenakan tindakan
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak