Sepakat membawa berkat

DARO: Sepakat membawa berkat, peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan semangat kerjasama ahli Unit Saberkas Kampung Badong yang menyertai gotong-royong untuk membersihkan surau Darul Ihsan di sini pada Isnin.

Program disertai seramai 12 anggota Saberkas unit berkenaan yang memulakan aktiviti itu seawal jam 8 pagi. Pengerusi Saberkas Unit Kampung Badong Rajiskanda Asim berkata, program bertujuan menceriakan kawasan surau di samping menyemai kesedaran ahli Saberkas terhadap pentingnya kebersihan.

“Program ini bermatlamat merapatkan tali silaturahim, memupuk semangat kerjasama ahli unit Saberkas.

“Melalui program ini, kami berpeluang nenghulurkan sumbangan khidmat masyarakat melalui aktiviti gotong-royong di samping menitikberatkan nilai kesatuan dalam sesebuah organisasi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, program itu juga sebagai kerja amal supaya agar jemaah surau dapat beribadah dalam suasana lebih selamat, bersih dan selesa.

Sebelum mengadakan program itu katanya, ahli jawatankuasa Saberkas Unit mengadakan perjumpaan dan perbincangan berhubung cadangan program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan.

“Saya berpuas hati dengan kerjasama semua ahli yang mengambil bahagian. Malah mereka menunjukkan kesungguhan menjayakan program ini,” katanya.

Hadir sama Ketua Kampung Badong Haslimi Hassan dan Pengerusi Surau Darul Ihsan, Abang Shamsure Abang Wahap.

PROGRAM… Ahli Unit Saberkas Kampung Badong yang menyertai program.

Suara Sarawak