Perhebat fungsi pelabuhan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu mengambil alih Pelabuhan Bintulu sebagai salah satu pelabuhan di negeri ini, kata Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo (gambar).

Menurutnya, ia bagi memperhebatkan fungsi dan operasi pelabuhan di Sarawak untuk tujuan eksport dan import perdagangan antarabangsa.

“Justeru, sebagai langkah memperkasakan pelabuhan kita, saya mengusul Kerajaan Sarawak mengusahakan mengambil alih Pelabuhan Bintulu.

“Seperti yang kita tahu, pelabuhan ini di bawah agensi persekutuan yang merupakan pelabuhan terkaya di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Bajet Sarawak 2021 di Persidangan Dun, di sini, pada Khamis.

Ujarnya, banyak perniagaan dapat dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tempatan di negeri jika Sarawak menguasai pelabuhan tersebut.

Beliau turut memberi cadangan bagi penambahbaikan pembangunan di negeri antaranya meningkatkan kualiti pendidikan dan kemahiran belia dengan menempatkan guru-guru yang mempunyai kemahiran teknologi maklumat dan telekomunikasi (TMK) di kawasan luar bandar.

“Sekiranya pembangunan infrastruktur dan prasarana di sekolah luar bandar dibuat serta adanya guru yang berkemahiran, saya percaya kualiti pendidikan luar bandar dapat ditingkatkan.

“Malah, Sarawak akan mempunyai aset modal insan bagi mentrasformasikan negeri untuk mencapai taraf negeri maju pada 2030,” ujarnya.

Mengenai perkembangan di kawasannya Aidel berkata, sejumlah 755 rumah di bawah program Pembaikan Rumah Rakyat (PPRMS) telah dibaik pulih dan sejumlah RM80 juta telah diperuntukkan untuk projek yang sama tahun hadapan.

“Namun saya memohon kerajaan untuk mempertimbangkan projek rumah spektra pertama dapat dilaksanakan di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Semera, Sadong Jaya, Jemukan dan Jaie,” tambahnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak