BINTULU: Seramai 100 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum dari kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak menghadiri Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Tatau Siri 2 Tahun 2020 yang diadakan di Hotel Promenade di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Tatau, Barayan Lenya berkata penganjuran program tersebut untuk memperkasakan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam komuniti.

Selain itu, katanya ia juga bagi memantapkan kesedaran komuniti untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan terutama dalam berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Bengkel ini juga untuk melatih dan memberi pendedahan tentang konsep kepolisan komuniti selaras dengan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya.

Pada masa yang sama, Barayan berharap program ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan peserta berkaitan kepolisan komuniti.

Antara pengisian program sehari ini termasuk ceramah “Peranan JKKK dan Tanggungjawab Dalam Pemerkasaan KMKK” yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadir di Pejabat Daerah Tatau, Long Jok, ceramah berkaitan Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Diana Seliman serta ceramah keselamatan bertajuk “Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti” oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Jankey Jikat.

Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat menyempurnakan acara perasmian bengkel.