BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) meningkatkan langkah penguatkuasaan dan pemantauan di Pasar Malam Bintulu dalam usaha memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pengurus besarnya, Muhamad Yakup Kari berkata bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan di Pasar Malam Bintulu bagi memastikan peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Ke arah usaha tersebut, beliau berkata pihaknya dalam cadangan untuk menggunakan khidmat anggota Rela dan keselamatan swasta.

Pendekatan itu, katanya, bagi mengurangkan tekanan dalam kalangan kakitangan penguatkuasa agensi berkenaan yang terlibat dalam memantau peniaga sama ada Pasar Malam, Pasar Utama Bintulu dan Tamu Bintulu mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan terutama pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu dan sebagainya.

“Kami bercadang untuk menggunakan perkhidmatan lain, misalnya pegawai Rela dan keselamatan swasta untuk membantu mengurangkan beban anggota kita,” ujarnya ketika ditemui selepas mengedar pelitup muka dan risalah berkaitan Covid-19 kepada peniaga Pasar Malam Bintulu dalam program santai pada Ahad.

Yakup, dalam pada itu menggesa pihak terlibat agar sentiasa mematuhi SOP bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian ekonomi tempatan.

Jelasnya, ekonomi kita tidak seharusnya terkesan akibat Covid19 selagi peniaga mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Selain daripada kebimbangan tentang Covid-19, kita ingin memastikan ekonomi tempatan tidak terjejas dengan Covid-19.

“Jadi, apa yang kami minta ialah peniaga pasar malam memberi kerjasama dengan menjaga SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” ujarnya.