BINTULU: Unit Risikan Marin (URM) Wilayah 5 Bintulu mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras susulan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di kawasan belakang premis kedai Hii Ching Kwang, Boulevard Setiaraja, Mukah semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 5 Bintulu, ASP Ezuandi Bahadin berkata kesemua barangan yang dirampas menerusi Ops Landai Covid-19 itu dianggarkan bernilai lebih RM120,000.

“Sebanyak 211 karton rokok putih, 234 karton rokok kretek dan 42 karton bir pelbagai jenama ditemui di dalam muatan kenderaan Pajero yang diletakkan di kawasan belakang premis kedai terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ezuandi menambah pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Kampung Petanak, Mukah kerana terlibat dalam kegiatan tersebut.

Katanya tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Unit Risikan Marin Wilayah 5 Bintulu bersama barangan rampasan dan suspek yang ditahan dalam Op Landai di sebuah premis kedai di Mukah, semalam.

 

Anggota Unit Risikan Marin Wilayah 5 Bintulu memeriksa karton minuman keras yang dirampas dalam Op Landai Covid-19, semalam.