SEJUMLAH 12 buah pasukan dari seluruh bahagian di negeri ini akan berentap memburu jura dalam Kejohanan Bola Sepak Liga Jemputan Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) Bawah 25 Tahun dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Naib Presiden FAS, Phillip Jabu memberitahu, kejohanan tersebut dijangka bermula pada minggu kedua bulan Disember.

“Pihak kami mencadangkan 9 Disember sebagai tarikh sepak mula. Pasukan yang bertanding akan dibahagikan kepada tiga zon, iaitu selatan, tengah dan utara,” katanya.

Zon selatan ialah Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman, manakala zon utara ialah Miri, Bintulu, Limbang dan Mukah. Zon tengah pula terdiri daripada Sibu, Sarikei, Kapit dan Betong.

Pertandingan akan diadakan secara berperingkat-peringkat. “Kemungkinan besar saingan bermula di zon tengah terlebih dahulu,”ujar Phillip.

“Sekarang ini kami masih dalam proses menunggu kelulusan daripada SSC sebelum membuat keputusan muktamad,” ujarnya.

Bagaimanapun, situasi Covid-19 di Sarawak sekarang ini belum menampakkan pemulihan, dan masih menimbulkan kerisauan bagi kebanyakan pihak.

Tambahan pula, Disember kurang sesuai untuk mengadakan pertandingan ekoran musim hujan dan banjir di beberapa tempat.

Di samping itu, ketiadaan liga di kebanyakan bahagian, mungkinkan akan menjejaskan sedikit persiapan pasukan. Tahun ini, hanya Bahagian Mukah (MuFA) yang menganjurkan Piala Parlimen yang Bermuda Februari salu, dan disambung semula pada Oktober lalu.