KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa belia di Sarawak agar menggunakan peluang yang ada untuk terlibat dalam tampuk kepemimpinan negeri ini.

Menurutnya, belia di negeri ini telah diberikan peluang untuk terlibat dalam menentukan arah tuju negeri ini pada masa hadapan.

“Perkara tersebut penting kerana ia juga akan menentukan arah tuju calon yang bakal menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada 13 November lalu.

Terdahulu dalam Persidangan Dun baru-baru ini, Rang UndangUndang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 melibatkan kelayakan rakyat Sarawak yang berumur 18 tahun ke atas untuk menjadi Adun telah diluluskan.

Tambahnya, negeri ini perlu dijaga dengan baik kerana barisan pemimpin sedia ada kini tidak dapat memimpin dalam tempoh yang lama.

“Ini kerana, suatu hari kelak golongan belia kini akan mengambil alih kepemimpinan Sarawak.

“Kita juga berharap agar tampuk kepemimpinan akan datang dapat meneruskan dan memberikan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan GPS masa ini, insyaAllah,” jelasnya