KUCHING: Kadar celik teknologi melambangkan tahap membangunnya sesebuah negara dalam mencapai status negara maju mengikut sasaran tersendiri, jelas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli.

Menurutnya, negeri Sarawak dalam usahanya menyediakan modal insan berketerampilan dalam bidang Internet dan teknologi telah menubuhkan Pusat Komuniti Digital (DCC) yang dipertanggungjawabkan kepada Pustaka Negeri Sarawak sebagai agensi pelaksana projek berimpak tinggi ini.

“Ia memakan masa 18 bulan dalam mendidik komuniti untuk menguasai literasi digital dan diharapkan dapat digunakan sebaik-baiknya oleh masyarakat Sarawak.

“Projek ini menggunakan kemudahan yang ada sebagai modal bagi menjayakan perniagaan mahupun pembangunan diri mereka”, katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek itu menyediakan platform ICT selain menyediakan kemudahan tambah nilai ekonomi digital dalam membantu usahawan tempatan.

“Di samping itu, memperkasakan mereka dalam kesiapsiagaan digital sekali gus meningkatkan kemahiran digital melalui peningkatan kapasiti bakat dari aspek ekonomi penduduk setempat,” tambahnya.

Jelasnya lagi, Pustaka Negeri Sarawak juga giat mempromosikan projek digitalisasi ini melalui hebahan radio dan platform dalam talian bagi menambah pengetahuan orang ramai mengenai 42 Pusat Komuniti Digital yang menyediakan kemudahan ini termasuk masyarakat di luar bandar.

“Usaha dalam mempertingkatkan keterangkuman digital dan memberi tunjuk ajar kepada komuniti setempat.

“Fokus utama melibatkan kemudahan yang hampir sama cuma perbezaan aspek pendekatan strategi penyelarasan mengikut kawasan dan faktor norma kehidupan baharu penduduk setempat”, tambahnya.

Beliau yang juga penyelaras projek percaya bahawa usaha ini membantu masyarakat di luar bandar dan pedalaman untuk menguasai literasi digital yang sememangnya menjadi keperluan pada masa sekarang.

Bagi kawasan zon merah Covid19 seperti Kuching, buat masa ini DCC di kawasan berkenaan ditutup manakala bagi kawasan lain masih terbuka, ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Japri berkongsi berkenaan topik Membina Komuniti Lestari Menerusi Pusat Komuniti Digital ini dalam episod terakhir Sembang Digital Normal Baharu anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama AZAM Sarawak menerusi Selamat Pagi Sarawak di Sarawak FM.

Sembang Digital Normal Baru SMA-AZAM ini membawa 13 topik berhubung pembangunan negeri masa kini yang menyentuh tema seperti amalan kelaziman baharu dalam kehidupan, Pembangunan infastruktur Internet, e-kerajaan, pelancongan, transforamasi dalam dunia e-dagang, kenali bandar pintar dan DCC ini sesuai dengan pengamalan Normal Baru yang diguna pakai pada masa sekarang.

Untuk keterangan lanjut, layari www.sma.gov.my atau website AZAM Sarawak www.azam.org. my.