LUBOK ANTU: Sebanyak 15 bungkus kayu gaharu dianggarkan bernilai RM400,000 antara yang dirampas ketika cuba diseludup keluar menerusi jalan tikus ke negara jiran, Indonesia.

Turut dirampas 573 botol minuman keras, 14 tong gas, lima telefon bimbit, 96 papan telur ayam, 143 pek serbuk Milo, wang tunai termasuk alat pertukangan kayu gaharu.

Menurut Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen, turut ditahan tiga warga Indonesia dan dua penduduk tempatan termasuk seorang remaja perempuan yang membawa kesemua barangan tersebut menerusi sempadan Malaysia-Indonesia di sini, sekitar jam 7.50 malam semalam.

Katanya tangkapan dibuat di lokasi yang dikenali masyarakat tempatan sebagai Pondok John kira-kira 400 meter dari sempadan.

“Anggota yang sedang dalam kedudukan Serang dan Tangkap (SERKAP) melihat seorang awam menunggang motosikal dalam keadaan mecurigakan, kelihatan berulang-alik ke arah Pondok John seolah-olah bagi memantau keadaan di kawasan tersebut daripada kawalan oleh pihak tentera.

“Tanpa menyedari pergerakan mereka diperhatikan, buat kali yang ketiga, penunggang motosikal tersebut dilihat mengiringi dua buah kenderaan jenis pikap
dari Malaysia ke arah sempadan Indonesia.

“Anggota dengan segera keluar dan menahan dua kenderaan tersebut manakala orang awam yang menunggang motosikal berkenaan melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melakukan satu lagi tangkapan membabitkan seramai lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah rumah tidak berpenghuni di seberang Taman Selera Puspa Indah, Tebedu sekitar jam 5.15 petang, semalam.

“Kelima-lima Pati terbabit dilihat sedang menunggu seseorang untuk mengambil mereka.

“Setelah disoal siasat, mereka bekerja di Bintulu dan hendak balik ke Indonesia melalui jalan tikus di sempadan Tebedu-Kalimantan Barat,” katanya.

suspek… Tiga warga Indonesia dan dua warga tempatan termasuk seorang remaja perempuan ditahan

 

. PULANG… Cubaan lima PATI untuk pulang ke Indonesia menerusi jalan tikus gagal