KUCHING: Pengembalian semula taraf atau status sebagai rakan sekutu kepada Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia adalah penting dalam membentuk asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Elias Lipi Mat dan timbalannya, Edward Awan berkata penurunan status Sarawak kepada sebuah negeri, yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.

“Kita mahu status asal diberikan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita memberikan sokongan dan berusaha untuk merealisasikan MA63 terlaksana di atas dasar dan prinsip untuk memajukan negara agar keamanan dan kejayaan dapat kita kecapi dan nikmati bersama,” katanya menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.

Sebelum ini, Parlimen pada 1976 telah melakukan perubahan dengan menukar status Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan Malaysia.

Elias Lipi Mat

Dengan pindaan yang berkuat kuasa sehingga hari ini, Sabah dan Sarawak telah diletakkan sebaris dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang asal, sekali gus menampakkan penurunan taraf daripada rakan sekutu Persekutuan Tanah Melayu.

Selain itu, Elias berkata keperluan pembangunan Sarawak perlu diberi perhatian kerana terdapat daerah dan kawasan yang masih mundur dengan kelengkapan yang daif.

Katanya ini kerana sebahagian besar masyarakat di pedalaman masih dibelenggu masalah kemiskinan akibat ketinggalan dalam aspek pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.

Pada masa sama, beliau berkata akses kepada kemudahan jalan raya, infrastruktur asas, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti terutamanya untuk masyarakat pedalaman juga perlu diberikan keutamaan.

“Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi pembangunan wilayah.

“Kita tak boleh ada negeri yang ketinggalan kerana ungkapan kemakmuran bersama yang sentiasa disebut, perlu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, Elias berkata Kerajaan Persekutuan hendaklah memberi peruntukan khas kepada Sarawak, umpamanya di bawah Artikel 112 dalam Perlembagaan Malaysia.

“Apakah formula untuk mendapatkan angka jumlah peruntukan khas di bawah Artikel 112D?

“Formulanya belum jelas dan belum diberitahu, mesti ada formula untuk mendapatkan peruntukan khas yang sepatutnya diberi kepada Sarawak mengikut Artikel 112D, Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Edward Awan