KUCHING: Bajet Sarawak 2021 diperkenalkan untuk memastikan risiko ekonomi dapat dikurangkan dengan berkesan berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bajet tersebut juga mengetengahkan pelbagai strategi dan program untuk memastikan ekonomi Sarawak berada pada landasan yang kukuh.

“Ketika merusmuskan Bajet Sarawak 2021, kerajaan menyedari perlunya kita memastikan pengurusan kewangan yang berhemah.

“Oleh itu, kita tidak mampu mempunyai perbelanjaan yang melebihi pendapatan kita. Dengan itu terdapat sebanyak RM180 juta lebihan fiskal dalam bajet ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Dun, pada Jumaat.

Tambahnya, sebagai Ketua Menteri beliau yakin Sarawak berada di landasan tepat untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Bagaimanapun, untuk mencapai perkara tersebut negeri ini perlu mempunyai bakat yang mencukupi, infrastruktur, kemudahan awam, komunikasi dan hubungan yang baik untuk menyokong serta menarik pelaburan swasta.

“Inilah sebabnya mengapa Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana yang besar untuk tujuan tersebut,” ujarnya. Beliau menjelaskan, untuk mencapai transformasi ekonomi Kerajaan Sarawak akan menekankan kepada kepelbagaian hasil.

“Kita juga perlu beralih daripada aktiviti huluan kepada hiliran yang bernilai tinggi dengan peningkatan infrastruktur sambungan keras dan lembut (hard and soft connectivity) untuk meletakkan Sarawak dalam peta pelaburan global.

“Di samping itu, peningkatan modal insan yang besar akan dilakukan untuk meningkatkan produktiviti pekerja yang dapat menghasilkan pendapatan isi rumah yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Abang Johari yang juga Adun Satok memberitahu, inisiatif dan projek juga akan dilaksanakan berdasarkan amalan dan dasar alam sekitar yang diiktiraf secara global untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak akan berterusan.

“Akhirnya, semua dasar dan inisiatif pemangkin akan didorong oleh transformasi digital dan inovasi di semua sektor ekonomi,” tegasnya.