PILIHAN popular, MyPham 25 menepati ramalan muncul juara Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Mukah yang berlangsung di Stadium Tertutup Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak (KBS Sarawak) Bahagian Mukah semalam.

Pasukan dari Daerah Mukah ini membawa pulang hadiah wang tunai RM800, piala dan pingat.

Tempat kedua milik Man Eleven yang turut membawa pulang wang tunai RM600, piala dan pingat.

Sementara itu, Leetonia dan Btank Trank dari Daerah Kecil Balingian menduduki tempat ketiga bersama dan masing-masing berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM350, piala dan pingat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Residen Bahagian Mukah Safrie Saili.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Mukah, Syahrulizan Madian, Presiden PESTAM, Nazri Moktar, Awang Yusri Awang Adeni dan Pengurus pasukan yang terlibat.

Safrie Saili berkata, objektif penganjuran adalah untuk memberi peluang kepada pemain mengetengahkan bakat masing-masing.

Ïa juga diharap dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan belia melalui aktiviti sukan,”katanya.

Terdahulu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Mukah dan Persatuan Sepak Takraw Bahagian Mukah (PESTAM) atas usaha murni menganjurkan pertandingan tersebut dengan jayanya selama dua hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sejumlah 20 pasukan berentap dalam kejohanan tersebut.