KUCHING: Sebanyak 20 unit sistem telemetri di pelbagai lokasi dalam kawasan tadahan air di sepanjang Sungai Sarawak membantu dalam pelaksanaan mitigasi banjir di Kuching.

Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr Murni Suhaili berkata, sistem itu membantu dalam pelaksanaan mitigasi banjir tetapi bukan alat untuk menghalang berlakunya banjir.

“Fungsi sistem ini untuk mengesan paras air hujan yang turun di kawasan hulu Sungai Sarawak dan menyalurkan maklumat kebaraj.

“Semua pintu air di baraj juga sentiasa diselenggara sepanjang masa untuk memastikan ia berfungsi dengan baik pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri raptai Pengoperasian Sistem Telemetri dan Pintu Air Sebagai Persediaan Waktu Banjir di Jambatan Baraj pada Jumaat.

Menurutnya, siren amaran awal banjr pada sistem telemetri juga akan dihidupkan jika paras air naik atau berlakunya banjir di sesuatu kawasan telemetri dan sekitarnya.

Tambah beliau, dalam mitigasi banjir, pengurusan baraj menutup sepenuhnya semua pintu air semasa air pasang untuk mengelak air laut masuk ke dalam sungai yang boleh menyebabkan paras air sungai naik.

Manakala, proses penurunan paras air Sungai Sarawak akan dilakukan dengan membuka semua pintu air semasa air surut atau paras air laut lebih rendah dari paras air dalam sungai.

Jelasnya, pemantauan paras air itu penting untuk membolehkan pihak pengurusan Baraj mengalirkan air keluar dari Sungai Sarawak ke laut bagi meningkatkan kemampuan menakung kadar air yang banyak mengalir ke sungai dari kawasan tadahan berdekatan.