KELAB Memanah Saribas (KMS) menjadi sandaran utama bagi membangunkan potensi sukan memanah di kawasan tengah Sarawak.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, kini KMS aktif menganjurkan pelbagai program untuk mempromosikan sukan memanah dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Saya nampak masyarakat semakin meminati sukan memanah dan ini satu petunjuk yang positif. “Dan, saya menyandarkan harapan sepenuhnya kepada KMS untuk menyusun atur perancangan bagaimana untuk membangunkan potensi sukan memanah di kawasan tengah Sarawak.

“Saya yakin, KMS mempunyai keupayaan kerana adanya hubungan baik dengan pelbagai kelab dan persatuan memanah dari sekitar Sarawak mahupun luar,” katanya kepada Suara Sarawak selepas berakhirnya Saribas Mini Indoor Archery Challenge 2020 yang berlangsung di Riveria Sport Centre (RSC), baru-baru ini.

UJI KEHEBATAN… Razi diberi peluang mencuba melepaskan anak panah ke
papan sasaran pada Saribas Mini Indoor Archery Challenge 2020 yang berlangsung di Riveria Sport Centre (RSC).

Jelasnya, ketika ini usaha menjadikan sukan memanah seperti sukan popular yang lain harus dipergiatkan. Beliau memuji komitmen KMS yang berjaya menganjurkan Saribas Mini Indoor Archery Challenge 2020 dengan penyertaan 128 pemanah dari seluruh Sarawak.

Bagi Presiden KMS Adi Spaiee, beliau amat berpuas hati dengan penganjuran tersebut. “Saya gembira melihat penyertaan yang agak ramai walaupun ketika PKPP akibat pandemik Covid-19. “Ada kelab yang datang dari Kuching, Samarahan, Sibu, Mukah, Bintulu, Sibuti serta jiran kita iaitu Saratok, Kabong dan Saribas sendiri.

“Ini menunjukkan Saribas semakin dikenali dengan sukan memanah,” ujarnya. Beliau mengharapkan sukan ini terus berkembang dalam kalangan semua peringkat umur sebagai sukan rekreasi yang mampu menjadi fenomena.

Adi bagaimanapun melihat perlunya promosi lebih terancang selain kemudahan lapangan latihan khas di Debak untuk menarik minat penggiat sukan itu. Saribas Mini Indoor Archery Challenge 2020 menyaksikan Golden Archers Team Mukah mengungguli kejohanan.

Bagi kategori recurve terbuka lelaki dimenangi oleh Muhammad Azizi Roslan. Naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Hazmi Angi dan Aidil Omar. Sementara recurve campuran wanita-15TKB menobatkan Maiyah Omar sebagai juara dan naib juara disandang Nurul Zafirah Roslan, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhd Faizlan Paridin.

Muhammad Zakuwan Ab Aziz pula menjuarai kategori tradisional terbuka lelaki. Rosdi Ilus dan Mohd Zullhannizam Mohamad Ali Bohan masing-masing bergelar naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Manakala untuk tradisional campuran wanita15TKB sekali lagi dimonopoli Maiyah Omar. Shah Rizzal Mohamad Ali menjadi naib juara dan Normaliza Wan Idris di tangga ketiga.

Penganjur turut memilih Norman Sudin dan Rafidah Ilus sebagai penerima hadiah busana terbaik.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Razi dan hadir sama Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi dan Penghulu Masyarakat Melayu Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili.