KUCHING: Keperitan hidup seorang ibu dan enam anak yang ditinggal suaminya turut mendapat perhatian Hope Place baru-baru ini.

Menurut kenyataan media, Norazlina Nasir, 34 meninggalkan rumah sewa bersama-sama enam anaknya yang berusia 11 bulan hingga lapan tahun.

“Hope Place dihubungi oleh Pusat Khidmat Sosial Anjung Singgah susulan menemui ahli keluarga ini di kedai di Batu 7 semalam.

“Anjung Singgah menyediakan tempat tinggal dan merujuk keluarga ini kepada Hope Place,” ujar kenyataan itu.

Difahamkan, suami Nora pernah bekerja di Semenanjung dan kembali ke Kuching pada Julai ekoran pandemik yang melanda.

Sejak itu, dia mulai mencari pekerjaan baharu di sini sebelum menghilangkan diri tanpa sebarang pesan. Hope Place menghulurkan beberapa bantuan kepada keluarga ini termasuk susu tepung dan keperluan dua anaknya yang berumur lapan dan enam tahun.

Hope Place juga merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menyumbang dan membantu mana-mana keluarga yang memerlukan selama ini.

Untuk maklumat lanjut, Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) boleh dihubungi di talian 082- 505987 diikuti waktu operasi adalah dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari hari Isnin hingga Jumaat manakala, 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Sabtu.

Setakat ini, persatuan itu membantu lebih daripada 190 keluarga dan individu.