SEJAK lebih sebulan kebelakangan ini, catatan kes positif baharu Covid-19 di negara kita langsung tidak menampakkan penurunan.

Malah ada ketikanya meningkat dengan agak mendadak, petanda virus yang berasal dari Wuhan, China itu masih bermaharajalela.

Sekarang ini, catatan kes demi kes menunjukkan situasi yang kita hadapi sekarang ini lebih berbahaya daripada keadaan kemunculan awalnya pada Mac hingga April lalu.

Oleh kerana kita sudah terbiasa dengan wabak ini, maka ia kelihatan dilupai, walaupun beberapa tempat
kembali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembukaan sektor ekonomi, terutama peniaga, menyebabkan urusan harian masyarakat kita berjalan seperti biasa, lebih rancak daripada ketika pada Mac hingga Mei lalu.

Pihak kerajaan berbuat demikian, kerana tidak mahu melihat golongan ini terus dicengkam derita, setelah
melalui detik pahit getir sepanjang PKP yang lalu.

Walaupun tempoh operasi dihadkan, tetapi sekurang-kurangnya mereka berpeluang untuk menjana pendapatan walaupun tidak seberapa, ia lebih baik daripada tiada langsung.

Di samping itu, bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka, lantas meredakan rungutan demi rungutan.

Dalam keadaan sekarang ini, golongan peniaga juga perlu membantu, dengan hanya mematuhi segala peraturan yang diarahkan, bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin, sepanjang tempoh PKPB ini.

Ia merangkumi penyediaan buku catatan pemeriksaan suhu badan.

Mana-mana pelanggan yang ingkar mencatat nama dan suhu hendaklah ditegur secara baik.

Kita tidak mahu wujudnya kluster baharu, hanya kerana kecuaian yang remeh-temeh ini.

Sehingga kini, lebih 54 juta kes di seluruh dunia dengan 1.3 juta kematian.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling banyak kes, 11 juta dengan 249,998 kematian, diikuti India, sekitar 129,000 kematian dan lebih 8 juta kes.

Kemudiannya disusuli Brazil, hampir 6 juta kes dan 164,946 kematian.

Tiga negara, Perancis, Rusia dan Sepanyol kekal teratas di benua Eropah dengan lebih sejuta kes dan puluhan ribu kematian.

Kita di Malaysia perlu bersyukur, kerana sehingga kini sekitar 46,209 kes positif dan 306 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sekitar 34 peratus kes positif di Malaysia berpunca daripada penularan di tempat kerja.

Ini bermakna, potensi wujudnya Kluster Pejabat tetap ada. Oleh itu, ia tidak seharusnya dipandang enteng, terutama para pekerja.

Ruang pejabat yang tidak kondusif untuk menampung pekerja, mendorong wujudnya penularan dalam kalangan pekerja.

Misalnya ruang yang agak sempit, menyebabkan pekerja sentiasa berdekatan.

Maklumlah pejabat ibarat ‘rumah kedua’.

Bayangkan sebahagian besar hari yang dilalui adalah dalam pejabat.

Misalnya dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Jadi, tempoh yang agak lama ini memungkinkan peratusan penularan virus adalah besar.

Di sinilah setiap pekerja memainkan peranan masing-masing, sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Oleh itu, ketua di pejabat hendaklah tegas dalam hal ini, memastikan setiap pekerja akur dengan SOP.

Pada masa yang sama pihak berkuasa hendaklah memantau dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi pejabat yang mempunyai staf yang ramai.

Organisasi yang melanggar SOP wajar dikenakan tindakan.

Harus diingat ia bukan sekadar hukuman, tetapi sebagai pengajaran, demi kesihatan dan keselamatan semua pihak.

Kita tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Usaha tersebut adalah untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penularan jangkitan Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja dapat dicegah.

Pemeriksaan SOP termasuk pemakaian pelitup muka dan pengambilan suhu badan, selain memberikan nasihat kepada pemilik premis.

Tujuannya adalah untuk menasihat dan mendidik.

Pihak berkuasa bukan pergi ke tempat kerja untuk menyusahkan orang, tetapi ini atas keprihatinan kepada komuniti. Semua pihak perlu sedar, bahawa tugas memerangi wabak ini belum lagi selesai.