KUCHING: Statistik rasmi menunjukkan lebih banyak perniagaan baharu didaftarkan berbanding perniagaan yang berhenti beroperasi berikutan pandemik Covid-19, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan sebanyak 281,781 perniagaan baharu didaftarkan antara Mac dan Oktober tahun ini berbanding 31,190 entiti perniagaan yang telah berhenti beroperasi dalam tempoh yang sama.

Katanya, SSM juga mengambil inisiatif untuk membatalkan syarikat yang tidak aktif dengan menghantar notis di bawah Seksyen 551 Akta Syarikat 2016 kepada 35,944 syarikat.

Tambah Wan Junaidi, sebilangan besar entiti perniagaan baharu yang didaftarkan terdiri daripada pemilik tunggal dan perkongsian (89.3%), diikuti oleh syarikat (9.8%) dan perkongsian liabiliti terhad (0.8%).

“Tinjauan yang dijalankan oleh Koperasi Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia dan MEDAC mengenai Covid-19 pada Mei dan Ogos menunjukkan peratusan perniagaan yang berhenti beroperasi adalah rendah pada Ogos iaitu pada 1.4 peratus berbanding 1.6 peratus pada Mei, katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) membentuk 98.5 peratus (907,065) perniagaan yang ditubuhkan di Malaysia.

Tambahnya, kerajaan menyedari bahawa perlu adanya rangka kerja yang kuat untuk pembangunan PKS untuk memperoleh hasil yang optimum dari pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Jelas Wan Junaidi lagi, kerajaan telah aktif bersemuka dengan PKS untuk mengukur keadaan terkini dan keperluan mereka.

“PKS harus mengambil kesempatan ke atas pendekatan rundingan ini untuk menyampaikan keperluan mereka secara munasabah.

“Setiap pihak harus memikul peranan mereka dengan baik dalam memulihkan ekonomi dalam waktu yang sesingkat mungkin, ” ujarnya.