KUCHING: Meskipun berkerusi roda, ia bukan penghalang bagi Lam Kah Yee untuk menjalani kehidupan seharian seperti orang biasa yang lain.

Dalam rancangan Seeing The World From The Wheels yang disiarkan di saluran Youtube Borneo Talk, Kah Yee berkata, dia lumpuh separuh badan sejak berusia 3 tahun.

Katanya, keluarganya telah mencuba pelbagai jenis perubatan untuk mengubatinya dan pada masa yang sama tetap memberikan sokongan penuh kepadanya.

Berkongsi cabarannya sebagai petugas barisan hadapan ketika pandemik Covid-19 ini katanya, pandemik tersebut menakutkannya yang bertugas di hospital.

Kah Yee risau dirinya akan dijangkiti virus itu, namun tetap memberanikan diri bertugas demi orang ramai.

“Saya memberanikan diri dan menghadapi sahaja ketakutan itu.

Sudah tentu, mereka kata virus akan melekat pada pakaian dan apa-apa yang kita sentuh.

Apatah lagi saya bergerak ke mana-mana sahaja menggunakan kerusi roda.

“Saya menjaga kerusi roda dengan baik, dan sentiasa men sanitasi kerusi roda saya setiap hari kerana takut akan menjangkiti ahli keluarga.

“Itulah cabaran peribadi saya sebagai petugas barisan hadapan yang berkerusi roda,” katanya kepada hos rancangan tersebut, Ashley Pan.

Sementara itu, dalam perkongsianya kembaranya Kah Yee berkata, meskipun ada kekangan dari segi fizikal untuk mengembara, dia membuat perancangan berbulan lamanya seperti pengangkutan, hotel dan destinasi yang hendak dituju.

Tambahnya, antara cabaran yang dihadapi adalah ketika mengembara menggunakan kapal terbang.

“Untuk itu, saya telah membuat perancangan rapi untuk mengembara dan bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.

Dalam rancangan itu, Kah Yee berpandangan Sarawak mampu untuk menjadi peneraju dalam pelancongan terutamanya di Kuching.

“Saya terdengar akan bas hidrogen di Kuching dan saya melihat terdapat pelekat kerusi roda yang ditampal di hadapan bas hidrogen.

Saya beranggapan kita bergerak ke arah itu.

“Saya bersemangat akan perkara itu, dan berharap kita dapat melihat ini di Sarawak dan kemungkinan Sarawak menjadi yang pertama mempunyai akses untuk mereka yang berkerusi roda,” ujarnya.