KUALA TERENGGANU: Siapa sangka kawasan yang awalnya dipenuhi semak samun dan dihuni haiwan di Kampung Mengambang Lekor di sini, boleh bertukar menjadi pusat penanaman cili hingga membawa pulangan lumayan selepas beberapa bulan diusahakan.

Ia bermula dengan tekad dan keyakinan Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, 51, bahawa pertanian secara fertigasi boleh diperluaskan di Terengganu, terutama di lokasi yang tidak mempunyai tanah berkualiti.

Lebih membanggakan, tanaman cili jenis Sakata gred A yang diusahakan oleh persatuan Khairunnisa itu dapat dijual melebihi RM16,000 pada bulan Mei lepas, dan dijangka hasilnya melonjak kepada lebih RM23,000 bulan ini.

Persatuan Khairunnisa merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh isteri wakil rakyat Terengganu, dan Tuan Faizah yang merupakan isteri kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, adalah pengerusinya.

“Pemilihan kawasan terbiar ini sekitar Mac lepas bagaikan projek ‘berani mati’. Oleh kerana tanah di sini adalah milik Persatuan Khairunnisa, saya perlu mendapakan persetujuan ramai dan berikan keyakinan kepada mereka,” kata Tuan Faizah ketika ditemui Bernama di kawasan penanaman cili seluas 1.5 ekar itu, baru-baru ini.

Katanya beliau mendapat ilham untuk mempelbagai kaedah tanaman menerusi pembacaan dan selepas menonton beberapa video Youtube, sebelum mengambil langkah seterusnya, mendapatkan pandangan daripada Jabatan Pertanian Terengganu.

Beliau berkata sebagai permulaan hanya 560 pokok cili ditanam di dalam pasu dan digantung di tiang secara tersusun bersama sistem pangairan khas bagi mengelak ia ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.

“Cili Sakata ini dapat dijual pada harga yang tinggi, bayangkan setiap pasu boleh hasilkan sehingga lima kilogram. Apabila tiba musim memetik, orang kampung akan dapat bekerja dan memperoleh pendapatan. Walaupun ia hanya pendapatan secara bermusim tetapi sekurang-kurangnya projek ini mampu memberi impak yang baik kepada komuniti setempat,” katanya.

Tuan Faizah berkata konsep fertigasi dan pertanian dalam bandar bukanlah perkara baharu baginya kerana sebelum Ahmad Samsuri dilantik sebagai pemimpin, aktiviti itu telah dilakukan secara kecil-kecilan, namun apabila menetap di negeri itu, beliau mendapati kaedah berkenaan kurang popular.

Selain penanaman cili, pemegang Ijazah Pengajian Dakwah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah menjadi usahawan selepas tamat pengajian di United Kingdom dalam bidang fesyen itu turut memanfaatkan kawasan kediamannya dengan menanam pelbagai sayuran.

Bukan sahaja sawi, bayam, terung dan lada habareno, tetapi juga tanaman yang agak jarang di tanam seperti buah tin, strawberry, markisa dan portaluca, turut subur di situ.

“Suri rumah dan sesiapa sahaja boleh manfaatkan kaedah penanaman dalam bandar ini. Kos tidak banyak kerana sesetengah barangan termasuk biji benih ada dijual serendah RM2,” katanya.

Tuan Faizah berkata kawasan tanaman di sekitar kediamannya itu kini dijadikan pusat informasi pertanian bandar dan sering menerima kunjungan dari pelbagai pihak untuk mendapat inspirasi serta mendalami proses penanaman daripada awal hinggalah cara pemilihan pasu.

“Saya amat berharap usaha ini dijadikan ikutan kerana bukan sahaja kita dapat menikmati sayuran segar dan petik sahaja jika perlu, tetapi juga boleh mengurangkan kos perbelanjaan apatah lagi dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar ini,” katanya.