PUTRAJAYA: Penguatkuasaan berterusan bagi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) penting dalam memastikan usaha negara membanteras elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam industri perburuhan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata penguatkuasaan Akta 446 yang bermula pada 1 Sept lalu menetapkan keperluan kepada para majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Sejak itu, pihak JTKSM Ibu Pejabat dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri juga telah melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan para majikan dan penyedia penginapan berpusat patuh kepada Akta 446.

“Pelaksanaan penguatkuasaan yang berterusan sejak 1 Sept 2020 sehingga 1 Nov 2020 telah merekodkan permohonan perakuan penginapan yang memberangsangkan daripada pihak majikan dan juga penyedia penginapan berpusat.

Permohonan perakuan penginapan yang dicatatkan dalam tempoh dua bulan ini adalah sebanyak 2,668 permohonan merangkumi 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat. Sektor pembuatan merupakan penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 1,562 permohonan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata sepanjang September hingga akhir Oktober lepas, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JTKSM dan JTK negeri telah menjalankan sebanyak 1,322 aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan di seluruh Semenanjung Malaysia yang merangkumi 1,305 buah majikan dan juga 17 penyedia penginapan berpusat.

Beliau berkata pematuhan terhadap Akta 446 amat penting dan penguatkuasaan yang berterusan adalah perlu kerana menerusi pematuhan secara komprehensif terhadap Akta 446 akan membuktikan bahawa Malaysia patuh terhadap piawaian yang digariskan oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.

“Perkara ini amat signifikan kepada negara memandangkan penyediaan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja adalah antara elemen penting dalam kriteria buruh paksa. Aspek penginapan dan kediaman pekerja ini telah mendapat teguran daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat khususnya membabitkan sektor pembuatan sarung tangan getah dan industri kelapa sawit negara.

“Selain itu, pematuhan dan pelaksanaan akta ini juga secara tidak langsung akan membantu dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Saravanan berkata aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan turut dilakukan secara berterusan dan ini jelas menunjukkan bahawa KSM tidak akan berkompromi dalam isu buruh paksa mahupun pemerdagangan orang.

Katanya sebanyak 90 aktiviti pemeriksaan di bawah Operasi Bersepadu ATIPSOM bagi tahun ini yang melibatkan agensi seperti Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah dilaksanakan di seluruh negara.

Selain itu, Saravanan berkata bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan, KSM turut mengambil inisiatif membentuk “Jawatankuasa Teknikal Task Force” dengan objektif utamanya adalah menjurus kepada pematuhan perundangan dan dasar perburuhan negara dalam lima sektor yang dikaitkan dengan buruh paksa dan juga pemerdagangan orang iaitu sektor getah, perladangan, perkhidmatan (restoran dan pembersihan), elektrik dan elektronik serta perabot.

KSM juga menyeru agar para majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum membuat permohonan Perakuan Penginapan segera berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan http://akta446.mohr.gov.my.

Sebarang pertanyaan atau nasihat berkaitan Akta 446 juga akta-akta lain dalam bidang kuasa Jabatan boleh menghubungi KSM dan JTKSM di talian 03-8886 5192 / 03-8886 2409 / 03-8886 2352 / 03-8888 9111 atau mana-mana pejabat tenaga kerja berhampiran.  — BERNAMA