SEOUL: Saluran televisyen kabel Korea Selatan, Maeil Broadcasting Network (MBN) berjaya menampilkan pembaca berita berasaskan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Menurut Asia One pada Jumaat, MBN bekerjasama dengan MoneyBrain menghasilkan AI sebagai pembaca berita berteknologi tinggi replika daripada Kim Joo-ha sebenar bermula 6 November lepas di MBN New 8.

Membawa replika Joo-ha ke udara, ia perlu dirakam, suaranya dinilai, intonasi, ekspresi wajah dan pergerakan tubuhnya.

Teknologi canggih ini memberikan animasi lebih hidup dan mampu mengucapkan 1,000 perkataan seminit.

Proses penyiaran berita bermula dengan bahagian berita menyediakan bahan kemudian menghantarnya kepada penerbit yang akhirnya menambah sari kata dan video yang sesuai.

Selepas semuanya selesai, berita tersebut kemudiannya dipersembahkan oleh pembaca berita versi AI, Kim Joo-ha untuk bersiaran langsung.

Pegawai MBN mengatakan melalui kaedah ini penyampaian berita lebih cepat dan berkesan serta membolehkan berita disampaikan 24 jam tanpa henti termasuk menyiarkan “breaking news”.