AKHBAR membungkus informasi dan visual sebagai pakej untuk menarik perhatian pembaca untuk membelinya.

Dalam pembungkusan ini, elemen terpenting yang menangkap perhatian pembaca dari jauh ialah unsur visual.

Susunan visual dan unsur-unsur lain dalam akhbar merangkumi konsep reka bentuk yang mencerminkan falsafah sesebuah akhbar.

Setiap akhbar sarat dengan falsafah tersendiri dan perkara ini tersurat dan tersirat bukan sahaja berdasarkan berita atau rencana yang diolah, tetapi lebih penting diperihalkan dalam reka bentuknya.

Sekiranya akhbar itu mempunyai 32 halaman, maka reka bentuk ini menggambarkan falsafah yang menjadi pegangan sidang editorial.

 

Pada setiap helaian akhbar, setiap bahan disusun dalam tataletak tersendiri.

Foto Astro Awani

Namun tataletak setiap halaman berkait dan bertaut untuk membentuk reka bentuk yang menjaja identiti sesebuah akhbar. Identiti akhbar bermula dengan saiz yang menjadi pilihan penerbit.

Di Malaysia, akhbar diterbit dalam dua saiz iaitu bersaiz besar (broadsheet) atau bersaiz kecil (tabloid).

Saiz yang menjadi pilihan mempunyai konotasi tersendiri. Bidang luas membawa maksud akhbar bersifat konservatif dan berpegang kepada tradisi kewartawanan.

Saiz tabloid yang mula diperkenalkan di Barat mempunyai konotasi sensasi dan memaparkan kewartawanan kuning.

Konotasi ini timbul apabila The Sun, United Kingdom dicetak dengan saiz ini memaparkan wanita separuh berpakaian dan berita-berita sensasi lain.

Akhbar Malay Mail di Malaysia antara yang mula diterbitkan pada 1 Disember 1896 menggunakan saiz ini.

Penerbitnya menerima konotasi tabloid, maka diadakan ruangan popular Page 3 Girl ?

Wanita diperagakan di halaman ini sememangnya cantik terpilih, tetapi berpakaian lengkap selaras dengan etika dan norma masyarakat tempatan.

Persepsi ini kekal dalam minda masyarakat sehingga penerbit lain “sukar” mencetak akhbar dengan saiz ini.

The Star, Malaysia berdepan dengan masalah persepsi yang diwarisi daripada Malay Mail apabila dicetak menggunakan format tabloid ini pada 9 September 1971.

The Star mengambil masa lama untuk mengubah persepsi masyarakat untuk menerimanya sebagai akhbar serius.

Kejayaan The Star mendorong penerbit New Straits Times menerbitkan akhbarnya dalam saiz ini bermula 1 September 2004.

Untuk menghilangkan konotasi negatif saiz tabloid, New Straits Times menggunakan istilah compact supaya tidak dikelaskan sebagai akhbar sensasi.

Kini persepsi negatif tabloid tidak wujud lagi di Malaysia.

Apabila Suara Sarawak mula diterbitkan pada 1 Mac 2019, saiz tabloid menjadi pilihan yang tepat.

Muka depan akhbar Suara Sarawak hari ini

Saiz ini mudah dibaca dan dibawa ke mana-mana, termasuk dalam pengangkutan awam.

Suara Sarawak menjadi wadah berita terkini tentang segala yang penting untuk dilaporkan di negeri ini.

Oleh itu, tidak hairan akhbar ini dengan cepat mengatasi edaran akhbar-akhbar berbahasa Melayu lain di negeri ini.

Akhbar Suara Sarawak dari awal dibangunkan dengan reka bentuk modular dan luwes.

Dari mula, akhbar ini mengetengahkan gambar bernilai berita di muka depan.

Penggunaan gambar mirip format majalah Life mampu memegun perhatian pembaca.

Di sinilah, kecekapan jurugambar memetik kamera dengan memilih sudut dan perspektif yang sarat dengan makna.

Gambar dramatik memerlukan editor menempatkan plat nama secara fleksibel.

Kekuatan Suara Sarawak kerana tidak mengamalkan sisi tetap untuk mencetak plat nama. Sisi plat nama fleksibel diselaraskan dengan gambar muka depan.

Dari awal lagi, Syarikat SV News, penerbit Suara Sarawak di bawah pimpinan Dr Jeniri Amir, Felo Kanan Majlis Profesor Negara memilih team editorial, jurugambar dan reka bentuk terbaik dengan menggabungkan orang berpengalaman dan baharu.

Gabungan ini terserlah dalam identiti yang bersifat dinamik dan segar, selaras dengan cita rasa semasa.

Apabila membaca Suara Sarawak, anda mendapati beritanya ringkas dan padat. Paling panjang beritanya 15 perenggan.

Langganan akhbar Suara Sarawak setahun di  SENANG PAY 

Tulisan sebegini mudah dihadam, lebih-lebih lagi ditulis dengan format piramid terbalik.

Beritanya diawali dengan tajuk yang menggunakan struktur ayat aktif bagi meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Yang sebenarnya format berita ringkas dan padat ini telah dimulakan oleh akhbar USA Today. Penerbit akhbar ini menjalankan kajian dengan menggunakan sejuta responden di Amerika Syarikat untuk mengetahui cita rasa, minat dan gaya hidup pembaca akhbar.

Jawapannya ialah responden ingin berita ringkas, gambar berwarna dan dramatik, infografik terkini dan format modular.

USA Today sebenarnya meniru format berita di televisyen dengan berita ringkas dan padat. Ayat mudah tanpa istilah khusus bagi membolehkan semua orang faham.

Orang yang tidak pandai membaca sekalipun boleh mengikuti siaran berita televisyen. Format televisyen ini diterapkan dalam akhbar.

Infografik perlu sebab orang semakin malas membaca. Grafik bermaklumat padat memudahkan orang menghadam informasi penting dengan sekali kunyah.

Infografik menggabungkan unsur gambar, bentuk dan perkataan bagi memadatkan mesej. Kita dapat lihat bagaimana Kementerian Kesihatan Malaysia memanfaatkan infografik bagi memaklumkan status Covid-19 terkini setiap hari di negara ini.

Reka bentuk dan tataletak baik semata-mata tidak menjual akhbar. Kandungan khususnya berita, rencana dan gambar mesti bermutu untuk menarik perhatian pembaca membelinya.

Kekuatan Suara Sarawak terletak pada gabungan reka bentuk dan pembungkusan maklumat terkini.

Maka, tidak hairan apabila wartawan akhbar ini membolot 23 anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Kenyalang ke-32 pada 7 November lalu.

Mungkin tahun depan, Persatuan Wartawan Sarawak boleh mencadangkan dua anugerah baharu iaitu pereka bentuk akhbar terbaik dan infografik terbaik.

• Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.