KUCHING: Kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian dengan Shell Malaysia Limited untuk menerokai potensi perdagangan karbon pada 15 Jun tahun lalu antara usaha untuk menjana sumber pendapatan baharu negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menururutnya, melalui kerjasama ini, kawasan tanah hutan seluas 0.56 juta telah dikenal pasti sebagai tapak perintis iaitu di Marudi, Baram, Bakun, Baleh dan Sabal.

“Dianggarkan sejumlah 3.93 juta tan karbon boleh disimpan di kawasan ini yang bernilai antara RM47.2 juta hingga RM157.3 juta setahun,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Persidangan Dun Ke-18 di sini.

Bagi mengulas taman negara dan hidupan liar pula, Awang Tengah berkata, Pusat Hidupan Liar Semenggoh baru-baru ini memenangi Program Pelancongan Kecemerlangan Dunia yang Lestari Pelancongan Anugerah 2020, ITB di Berlin, Jerman.

“Dalam usaha meningkatkan pengalaman pelawat, antara pembangunan projek yang dijalankan merangkumi peningkatan tahap kemudahan di Gua Pari-Pari dan Gua Angin di Bau.

“Malah, kereta kabel dibina di Taman Negara Niah dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh,” jelasnya.

Kerajaan Sarawak juga komited menanam tukun tiruan sebagai salah satu inisiatif untuk melindungi dan memulihara ekosistem laut, meningkatkan sumber laut dan mewujudkan rangkaian ekopelancongan baharu.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM70 juta untuk penempatan 16,800 unit tukun tiruan di sepanjang kira-kira 1,000 km perairan pantai Sarawak dari Tanjung Datu hingga Lawas,” jelasnya. Ujarnya, projek ini dijangka siap pertengahan tahun depan dan bakal mencipta rekod dunia tukun tiruan terpanjang di dunia