DALAT: Kerajaan Sarawak komited membantu masyarakat melalui pelbagai projek pembangunan dengan menyalurkan peruntukan tambahan kepada semua Adun berjumlah RM500,000 untuk melaksanakan projek di setiap kawasan.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-lanak Datuk Seri Fatimah Abdullah tampil menyampaikan cek MRP Adun Dalat dan cek MRP bagi peruntukan khas tersebut.

“Penerima cek tersebut ialah Kelab Peminat Bot Laju Medong Dalat bagi Projek Naik Taraf Kawasan Laman Bela’o, Kampung Medong Hulu, Dalat berjumlah RM 30,000 dan 14 keping cek MRP Peruntukan Tambahan Khas ini untuk lapan kampung” katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Penyampaian Cek MRP Adun N56 Dalat Tahun 2020 di Pusat Khidmat Adun Dalat di sini pada Sabtu.

Jelasnya lagi, lapan JKKK terlibat dari Kampung Sungai Kut Muara, Dalat (RM150,000), Kampung Tanam, Dalat (RM100,000), Kampung Tanam Seberang, Dalat (RM100,000), Kampung Teh, Oya (RM13,000), Kamung Brunei, Dalat (RM50,000), Kampung Baru Cina, (RM16,350), Kampung Sungai Ud (RM39,500) dan Kampung Tengah/ Hilir (RM25,000).

“Peruntukan khas ini untuk projek pembangunan seperti bumbung gelanggang futsal kampung, pembesaran dewan, naik taraf dan baik pulih rumah stor kampung, rumah Belanga.

“Seterusnya untuk membina pontun dan pelantar, baik pulih titi belian, aktiviti surau, bina pagar penghadang, dinding dewan, menembok pasir, bina jalan simen dan pembesaran ruang balai raya kampung,” jelasnya lagi.

Fatimah yang juga Adun Dalat turut mengingatkan ketua kaum dan pengerusi JKKK agar mengurus akaun kewangan dengan betul. “Ini kerana ia melibatkan proses keluar masuk peruntukan yang disalurkan agar tidak berlaku masalah kerana projek baik pulih rumah di Dalat secara amnya kini dilaksanakan secara gotong-royong,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan bahawa Ketua Menteri datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan tebingan di Dalat dan Bazarnita Dalat pada 28 November depan.

Dalam majlis itu, Fatimah turut menyampaikan sumbangan peribadi iaitu seunit komputer riba kepada seorang pelajar yang berasal dari Kampung Sungai Kut Muara yang akan menyambung pelajaran di Centex Kampus Kuching dalam jurusan juruelektrik.

“Komputer riba amat diperlukan semasa PKP kini kerana ia digunakan bagi pembelajaran dalam talian. “Saya mempunyai harapan besar terhadap Andra Alai kerana latar belakangnya. Semoga dia dapat meneruskan pelajaran di Centex.

“Dengan kemahiran yang dia dapat kelak,, kita harap masa depan dia dan keluarganya dapat diubah,” jelasnya. Seterusnya Fatimah turut menyaksikan penyerahan set meja dan kerusi daripada Gabungan KMKK Oya kepada Oya Square.

“Pada 21 Julai lalu, cek MRP Adun N.56 Dalat bernilai RM4,000 bagi peruntukan agihan kepada lapan JKKK di bawah Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Kecil Oya untuk membina meja baharu sebagai tambahan meja untuk Oya Square telah kita salurkan.

“Pembinaan meja tambahan ini bermula 4 Ogos dan siap pada 15 September. “Gabungan KMKK Oya juga telah menyumbang lapan meja bagi fasa pertama iaitu pada 2016. “ S e m o g a usaha kita ini dapat memberikan manfaat kepada semua,” katanya lagi.