SARAWAK yang terkenal dengan misteri Bujang Senang dan Batang Lupar merupakan negeri paling banyak mencatat konflik antara buaya dengan manusia di Malaysia.

Ia berpunca daripada peningkatan populasi reptilia ganas itu, lantas menyebabkan berlakunya beberapa siri serangan terhadap manusia, dan pada masa yang sama, manusia juga memburunya.

Malah ia bagaikan tiada kesudahan, dengan peningkatan kes demi kes yang membabitkan beberapa kawasan panas, sebagai lokasi kegemaran makhluk purba itu.

Menurut Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Engkamat Lading, survei yang dilakukan menunjukkan terdapat lapan hingga 12 ekor buaya dalam setiap kilometer.

Survei dilakukan di Batang Baram, Batang Sadong, Batang Samarahan, Sungai Seblak, Sungai Sebuyau, Batang Lupar, Sungai Lingga dan Batang Krian.

“Anggaran populasi ialah sekitar 12,000 ekor, termasuk 10 hingga 15 peratus pemangsa pada masa-masa tertentu, maka anggaran populasi buaya di negeri ini ialah 180,000 ekor,” ujar Engkamat Lading.

Dengan jumlah tersebut buaya akan terus bermaharajalela pada bila-bila masa.

Buaya air masin yang lebih dikenali sebagai buaya katak dalam kalangan masyarakat tempatan, merupakan spesies paling banyak ditemui di Sarawak.

Ia semakin meningkat berikutan larangan memburu buaya dari segi perundangan dan larangan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) untuk eksport buaya.

Selain itu, pantang larang membunuh buaya yang diamalkan penduduk tempatan, selain semakin banyak tempat sesuai untuk pembiakan di tepi sungai akibat pembersihan hutan asal di sepanjang sungai.

Konflik serangan buaya terhadap manusia dikatakan berpunca daripada sikap manusia itu sendiri, selain jumlah populasi buaya.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr. Mat Naim Ramli berkata, kebanyakan serangan buaya ialah kerana sikap manusia yang mengambil mudah terhadap keselamatan ketika berada di persekitaran yang dihuni buaya.

Selain itu, kekurangan sumber makanan turut menjadi faktor ia bertindak agresif.

Perebutan habitat buaya jantan dan betina juga menjadi punca reptilia itu memasuki kawasan yang dihuni manusia.

Jadi tidak hairanlah pada masa ini jika kita melihat kelibat buaya di dalam longkang, tasik, dan sebagainya.

Buaya boleh menyerang manusia jika ia berasa terancam, dan melihat kita sebagai sumber makanannya.

Inilah konflik yang dimaksudkan, lebih-lebih lagi dengan peningkatan populasinya menyebabkan ia semakin kekurangan sumber makanan.

Kegiatan manusia yang tinggal di kawasan berhampiran sungai seperti membuang sisa daging terus ke sungai akan menyebabkan buaya berasakan bahawa manusia termasuk dalam rantaian makanannya.

Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan agar lebih berwaspada termasuk membuat pelantar yang tinggi bagi membolehkan mereka mencuci pakaian di kawasan tebing, sekali gus mengelak daripada menjadi mangsa serangan.

Justeru pihak berwajib perlu mengawal populasi buaya agar ia tidak menjadikan manusia sebagai sumber makanan utama.

Akses untuk individu ataupun syarikat mendapatkan lesen memburu buaya perlu dipermudahkan di kawasan sungai yang dikenal pasti mempunyai populasi yang tinggi.