TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis terus komited dalam usaha memerangi kemasukan pendatang tanpa izin (Pati) dan membendung penularan Covid-19 melalui laut.

Terkini agensi itu menerima peralatan Sistem Komunikasi Taktikal Digital (RMPNet) daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali gus membuktikan kerjasama strategik kedua-dua pihak. Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, peralatan komunikasi terkini itu dipasang di Pejabat Zon Maritim Tanjung Manis baru-baru ini.

Katanya, ia merupakan kerjasama secara bersepadu dengan melibatkan perkhidmatan dalam Op Benteng iaitu PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). “Pemasangan RMPNet diketuai Inspektor Wafi dan turut dibantu tujuh pegawai lain-lain pangkat PDRM.

“Langkah proaktif ini merupakan usaha berterusan membantu kerajaan memerangi kemasukan Pati ke negara ini di samping membanteras dan memerangi penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap kerjasama tersebut mengeratkan lagi silaturahim dan hubungan erat semua agensi penguatkuasaan yang terlibat. Dalam perkembangan berkaitan,

APMM Zon Tanjung Manis mengadakan perhimpunan bulanan bersama-sama pengarah zon. Program itu amat penting bagi memastikan setiap pegawai dan kakitangannya sentiasa mengamalkan tahap disiplin diri yang tinggi dan berdaya saing demi mengharumkan nama agensi di mata masyarakat umum.

Mohd Ariz berkata, sejajar dengan usaha mengekang dan memerangi penularan Covid-19, pegawai dan kakitangan APMM digesa agar sentiasa mempraktikkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).