KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dengan kekuatan 1,194 pegawai dan anggota sudah bersedia untuk menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut yang bermula November ini hingga Mac 2021.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, selain itu sejumlah 230 Pegawai Bomba Bantuan (PBB); 2,259 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari 53 pasukan; 7,453 Bomba Komuniti dan 10,107 peserta Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (Cert) di seluruh negeri juga sudah siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dari segi kelengkapan logistik, JPBM Sarawak mempunyai 45 bot penyelamat, 16 lori, 67 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah helikopter di Miri yang disediakan untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media persiapan JBPM Sarawak menghadapi Monsun Timur Laut, di sini, hari ini.

“Berdasarkan taburan angin, kita mendapati ia menjurus ke arah Sri Aman hingga ke Simunjan, Sebuyau serta kawasan pesisir pantai negeri di Zon 2 dan Zon 3 untuk berlaku banjir dalam tempoh ini berikutan peningkatan aras laut dan hujan lebat,” jelasnya.

Sementara mengenai persediaan menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam norma baharu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBNS).

“Kita sudah bersedia untuk menjalankan operasi dalam keadaan norma baharu serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengendalikan isu bekalan makanan kepada mangsa banjir kerana amat penting untuk memastikan semua SOP dapat dipatuhi,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya sudah mengagihkan risalah siap siaga banjir kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat bahagian di seluruh negeri sebagai persediaan dan panduan mereka dalam menguruskan mangsa ke PPS.