SELANGAU: Penduduk Rumah Lang Ganya di Nanga Meruan, Jalan Dijih di sini dijangka menikmati elektrik 24 jam menjelang bulan depan.

Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan BELB di rumah panjang tersebut pada Ahad.

“Pada majlis itu, saya juga menyerahkan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada JKKK rumah panjang dan persatuan di Daerah Selangau berjumlah RM195,000,” katanya.

Gira menambah 22 pemilik tanah dari kawasan Dijih, Selangau dan Ulu Mukah telah menerima tanah NCR yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Dalam acara lain berkaitan, beliau juga menghadiri upacara perasmian tapak baharu Rumah Oyok di Jalan Dijih.

“Saya juga memperuntukkan RM75,000 untuk penduduk rumah panjang membeli bahan binaan dan RM16,000 kepada JKKK rumah panjang,” tambahnya.

Turut mengiringi Gira pada kedua-dua majlis tersebut ialah Ahli Dewan Negara Senator Rita Insol dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Edwin Banta.