KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak komited dalam kesiapsiagaan kemungkinan berlakunya banjir.

Pengarah JBPM Sarawak Khiruddin Drahman berkata, JBPM sentiasa siap siaga dalam operasi penyelamatan dan susun atur pemindahan mangsa jika diperlukan.

“JPBN juga telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) di setiap pusat penempatan sementara (PPS) di negeri ini.

“Seluruh negeri diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di kawasan kerap berlaku banjir dan menyelaras susun atur aset serta gerakan aset mengikut kawasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Khiruddin menambah, latihan persediaan dan gerak kerja telah diuji semasa banjir di Bahagian Kapit pada 13 hingga 16 September lalu dan penduduk di kawasan berkenaan memberikan kerjasama yang cukup baik.

Menurutnya, dalam persediaan menghadapi banjir, pelbagai usaha dilakukan JBPM termasuk memastikan peralatan menyelamat seperti tali, bot dan peranti pengapungan peribadi (PFD) dalam keadaan baik. Selain itu katanya, JBPM turut mengehadkan 20 peratus cuti pengawai dan anggota JBPM.

Jumlah keseluruhan pegawai dan anggota bomba di seluruh Sarawak seramai 1,193 orang manakala 230 pegawai bomba bantuan.

“Selain melakukan rondaan dan pemantauan berkala ke kawasan berisiko banjir, pemantauan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi lain turut dilakukan,” jelasnya.

Khiruddin mendedahkan, mereka turut mengatur gerak Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Komuniti dan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) serta mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan agensi kerajaan di peringkat daerah bagi penyelarasan tugasan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk yang terjejas banjir termasuk petugas di setiap PPS agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh JBPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.

“Dalam penularan wabak Covid-19, penduduk perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terma-suk menggunakan pelitup muka, menjaga kebersihan seperti menggunakan cecair sanitasi tangan atau sabun, mengamalkan penjarakan fizikal dan mendapatkan rawatan jika bergejala,” ujarnya.

Beliau mendedahkan, JBPM akan melancarkan garis panduan dan SOP untuk anggota bomba di ibu pejabat bomba di Jalan Setia Raja pada Selasa ini.