KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah menjalankan beberapa latihan insentif bermula Jun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN) yang akan diadakan bila-bila masa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail memberitahu, latihan tersebut dilakukan sebagai persiapan anggotanya dalam menjalankan tugas dalam norma baharu.

Menurutnya, antara kriteria yang diberi fokus semasa latihan termasuk penjarakan fizikal dan penggunaan pakaian perlindungan diri(PPE) yang lengkap.

“Kita sudah mula membuat pesanan untuk memastikan anggota barisan hadapan PRN dilengkapi dengan peralatan sewajarnya, supaya kejadian yang berlaku di Sabah tidak berulang.

“Setakat ini, polis Sarawak difahamkan tidak akan mendapat bantuan luar berikutan masalah penularan wabak Covid-19,” jelasnya ketika ditemui dalam sidang media di Dewan Mes Pegawai Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak, Kuching hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengesahkan kekuatan anggota polis di Sarawak setakat ini masih dapat membantu kerajaan negeri melancarkan proses PRN akan datang.

Tambah Aidi, dari segi aset, pihaknya akan membuat sewaan pengangkutan termasuk kenderaan motokar serta perahu untuk memasuki daerah atau pusat pengundian di kawasan pedalaman.

Jelasnya, perkara itu akan dirujuk semula ke Bukit Aman untuk diberi pertimbangan semula.