SARIKEI: Kerajaan menyalurkan sebanyak 1,697 unit tangki air kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok sebagai persediaan mereka untuk menghadapi kemungkinan terputus bekalan air.

Sumbangan itu melegakan kebimbangan penduduk ketika berdepan dengan musim kemarau khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai tempat simpanan air.

Adun Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berharap penerima bantuan tangki itu menggunakan kemudahan yang disalurkan itu dengan berkhemah.

Katanya, pengagihan tangki air tersebut merupakan projek Kementerian Utiliti yang disalurkan melalui Pejabat Residen Bahagian Sarikei kepada pemohon yang berjaya berdasarkan kriteria tertentu.

“Saya berharap para penerima projek ini dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini untuk kegunaan mereka terutama ketika ketiadaan air,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendengar keluhan rakyat dengan melaksanakan pelbagai pendekatan.

Katanya, keprihatinan kerajaan boleh dilihat apabila melaksanakan pelbagai program pembangunan berimpak tinggi untuk rakyat termasuk di kawasan Repok.