KUCHING: Tiada kakitangan daripada Jabatan Imigresen Malaysia(JIM) Sarawak ditahan berikutan tangkapan besar-besaran sindiket penyalahgunaan pengesahan cop keluar masuk sempadan negara.

Pengarahnya, Datuk Ken Leben berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat daripada Ibu Pejabat Imigresen mengenai tangkapan membabitkan anggota di negeri ini.

“Setakat ini saya tidak mendapat laporan berhubung tangkapan pegawai di setiap pintu masuk di Lubuk Antu, Tebedu, Biawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK),” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak Mohd Zaki Hassan bagaimanapun memberitahu tangkapan di Sarawak pada Ahad hanya melibatkan seorang individu warga tempatan.

Zaki bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci berikutan kes dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Saya tidak boleh komen apa-apa sebab kes dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM,” katanya.

Terdahulu, Op Selat dijalankan SPRM bersama pihak JIM menyaksikan seramai 46 individu ditahan di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun terdiri daripada 27 pegawai JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima individu awam sebagai orang tengah.

Sindiket tersebut dipercayai menjalankan aktiviti sejak setahun yang lalu dan berada di bawah radar pemantauan SPRM bermulanya penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu.