BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu akan mengguna pakai garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk pengurusan banjir ketika pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Jack Aman Luat berkata ia sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh serta kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di bahagian ini termasuk Daerah Tatau dan Sebauh.

Beliau berkata SOP itu merangkumi pengurusan sebelum, semasa dan selepas operasi pemindahan penduduk yang terjejas dengan bencana itu.

Menurutnya lagi, SOP itu juga menggariskan beberapa kaedah baharu dalam penetapan dan pengendalian pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir yang sebelum ini tidak mengambil kira aspek penjarakan fizikal.

“SOP berkenaan meminimumkan risiko penularan wabak itu dalam kalangan mangsa banjir dan petugas pengurusan bencana,”ujarnya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Bahagian Bintulu, di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan samada terdapat keperluan bagi setiap mangsa menjalani ujian calitan Covid-19, Jack berkata, ia bergantung kepada garis panduan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Mesyuarat tersebut antara lain bertujuan menyelaras dan mengkoordinasikan kesiapsiagaan agensi dan jabatan berkaitan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.