KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesan satu kluster baharu di daerah Kuching hari ini yang dikenali sebagai Kluster Besi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster tersebut melibatkan kawasan Demak Laut dan Batu Lintang di daerah Kuching.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-1,040 yang dikenal pasti positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 15 November lalu.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak empat lagi kes Covid-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hasil pengesanan Kluster Besi di daerah Kuching menjadikan sebanyak enam kluster yang masih aktif di Sarawak.

Bagaimanapun, Uggah berkata tiada penambahan jumlah kes positif terhadap lima kluster yang lain.